Malaysiadaily
Penyanyi
dan pelakon Azza (Elite) mendedahkan watak yang dilakonkannya sebagai
wanita muslimah bertudung menerusi drama Mujahid pada tahun lalu telah
membuka hatinya untuk terus menutup aurat.
Gambar: Imej terbaharu Azza bersama suaminya Azlan. Foto: Twitter milik Azza
Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 35, berkata, dia
bersyukur kerana mendapat rahmat berkenaan ketika sedang mencari rezeki
dalam dunia lakonan yang menjadi punca rezekinya selama ini.
“Itulah, orang kata, rahmat yang Allah berikan kepada setiap manusia
berbeza-beza dan apabila sudah sampai waktunya, apa salahnya kita
berhijrah terus.
“Sebenarnya, sebelum Mujahid, saya dah mula berselendang sepanjang
penggambaran drama Kiah Pekasam bersama Rozita Che Wan di Jepun, tahun
lalu.
“Alhamdulillah, menerusi bidang lakonan yang menjadi punca rezeki utama
juga menyedarkan saya kepada sebuah penghijrahan yang indah dalam hidup
ini,” katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Tambah Azza yang mula bertudung pada 6 Januari lalu, dia juga bersyukur
apabila keluarga dan suaminya, Azlan Zulaily memberi sokongan terhadap
perubahan penampilan barunya itu.
Kata Azza, suaminya juga pernah menyuarakan hasrat untuk melihat dia
bertudung selepas mendirikan rumah tangga pada April tahun lalu, namun
lelaki itu tidak memaksanya untuk melakukan perubahan secara drastik.
Suami Azza juga pernah menyuarakan hasrat untuk melihat dia bertudung selepas mendirikan rumah tangga pada April tahun lalu.
“Kalau nak tahu, sebelum ini hanya saya seorang dalam keluarga yang
tidak bertudung dan sedikit rasa janggal lebih-lebih lagi ketika seluruh
keluarga berkumpul untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Pulau
Pinang pada pertengahan Disember lalu.
“Kemudian saya terfikir, kasihan pula pada ibu apabila anaknya seorang
ini sahaja yang tidak bertudung dalam keluarga,” tuturnya yang turut
diberikan hadiah pelbagai jenis tudung daripada rakan-rakannya termasuk
daripada pelakon Sheila Rusly.
Sementara itu, Azza berkata, bertudung litup juga tidak menghalangnya untuk berlakon dan menyanyi seperti biasa.
Malah dia bersyukur apabila perubahan imej baru itu tidak mengganggu karier seninya.
“Ini (berlakon) adalah sumber pendapatan saya. Selama ini, lakonan saya
tidak pernah melebihi batas-batas atau mengundang rasa tidak senang
kepada orang ramai.
“Saya akan terus berlakon dan menyanyi seperti biasa. Cuma yang bezanya hanyalah penampilan diri sahaja.
“Apa-apa pun diharap, setiap tutur kata dan perlakuan saya lebih bersifat sederhana, Insya-Allah,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Azza bakal muncul dengan drama Mujahid, Musim
Cinta Atuk dan Sepai di TV1 serta Kiah Spy di Astro Warna. -mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.