Jumaat, 25 Januari 2013

Aktivis Himpunan Hijau lancar kempen ‘boikot’ di depan bank HSBC


Sebagai simbolik, Penengerusi Himpunan Hijau Wong Teck bersama aktivis lain telah memotong kad HSBC milik mereka sebagai tanda protes. — Gambar oleh Choo Choo May
 
KUALA LUMPUR — Sekumpulan aktivis alam sekitar Himpunan Hijau berkumpul di perkarangan ibu pejabat perbankan antarabangsa HSBC di ibu kota hari ini dan melancarkan kempen “boikot” bank tersebut yang didakwa mereka terlibat dalam menjalankan urusan dengan kilang pemprosesan nadir bumi, Lynas Corp Sdn Bhd di Kuantan.
 Seramai 20 orang berhimpun dengan pakaian hijau sebagai simbolik menentang kilang di Lynas dan membawa sepanduk menggesa HSBC menjelaskan dakwaan terlibat sama dalam pembinaan kilang kontroversi tersebut.

“Hari ini adalah langkah pertama Himpunan Hijau bagi menggesa pihak bank HSBC tampil menjelaskan hubungan mereka dengan kilang Lynas,” kata Pengerusi Himpunan Hijau Wong Teck dalam sidang medianya di sini.

“Sehingga kini mereka masih berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.”

Beliau juga memberi amaran kepada HSBC akan meluaskan kempennya untuk memboikot syarikat perbankan tersebut jika masih berdiam diri.

“Jika mereka masih berdiam diri, pihak kami akan meluaskan kempen memboikot.

“Kami akan guna laman sosial dan beberapa platform lain untuk memberitahu orang awam supaya menghentikan sebarang urusan dengan HSBC,” kata Wong yang juga mempertikaikan profesionalisme bank tersebut kerana enggan berterus-terang.

Langkah yang diambil hari ini adalah yang terbaru dirancang oleh kumpulan tersebut sebagai salah satu usaha untuk menekan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pembinaan loji toksik tersebut tampil menyatakan pendirian mereka dan tidak berselindung
Sebagai simbolik, Wong bersama aktivis lain telah memotong kad HSBC milik mereka sebagai tanda protes..

Kumpulan tersebut sebelum ini telah mengadakan satu himpunan besar-besaran pada 25 November 2012 dimana ribuan orang ramai telah turun ke Dataran Merdeka sebagai tanda protes terhadap pembinaan loji Lynas tersebut.

Malahan, Himpunan Hijau juga telah berjalan hampir sejauh 300 km selama 13 hari yang bermula di Kuantan bermula pada 13 November tahun lalu.

Selain itu, kumpulan ini juga mendapat sokongan empat NGO lain seperti Jawatankuasa Membantah Sianida Raub, (Ban Cyanide Committee), gabungan NGO Pengerang, dan NGO, anti-empangan Murum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.