Intro: Sebuah komik haram muncul secara tiba-tiba pada April tahun lalu. Seorang adiwira berpakaian lucu digambarkan terbang dan disambut gembira oleh penduduk pelbagai kaum. Budaya meraikan superhero bukan sesuatu yang baru tetapi siapakah adiwira sebenar?
Masihkah anda ingat komik superhero (Inggeris) atau adiwira (Sanskrit) yang diedarkan secara percuma kepada pengetua dan penolong kanan pada April 2012? Khabarnya edaran dilakukan oleh jabatan pendidikan negeri tertentu semasa taklimat “Wacana Transformasi Minda”.
Malangnya, komik berwarna setebal 50 halaman itu adalah semacam “edisi terhad” dan tidak semua sekolah berpeluang membaca dan menghayati kehebatan Adiwira Najib yang muncul tiba-tiba – terbang, tentunya – untuk membantu pada saat orang ramai – pelbagai kaum, tentunya – memerlukan bantuan.
Pada muka surat 38, orang ramai digambarkan memandang ke angkasa dan melaung “Hi! Superman” sambil melambai kepada Adiwira Najib yang sedang terbang rendah.
Buku komik itu yang tidak mencatatkan nama pencetak khabarnya diterbitkan “MJ Publication Sdn Bhd” yang beralamat di Persiaran Barat, Ampang. Portal berita The Malaysian Insider (13 April 2012) melaporkan bahawa alamat penerbit tidak ditemui dalam direktori perniagaan dan carian menerusi Google Map juga gagal membuahkan hasil.
Saya pula hanya menemui syarikat “MJ Publishing Sdn Bhd” (859920-X) yang menggunakan alamat berdaftar serta beribu pejabat di Petaling Jaya. Saya terasa gembira kerana komik Adiwira Najib sudah memenuhi salah satu kriteria superhero iaitu tempat kelahiran serta tempat tinggalnya menjadi misteri. Kementerian Dalam negeri (KDN) pun pasti tidak akan mampu mencarinya.
Tentulah saya tidak merujuk kepada adiwira dalam cerita rakyat Melayu seperti Badang. Tambahan pula, mana ada kanak-kanak yang masih bangga menganggap Badang sebagai adiwira. Tidak juga saya merujuk kepada watak Hang Tuah iaitu orang Bugis yang dipercayai meninggalkan Sulawesi lalu berhijrah ke Melaka serta mencipta nama dalam sejarah, legenda dan mitos.
Bagi anda yang meminati watak-watak adiwira seperti Superman, Batman, Spiderman, Iron Man, Captain America, Ben 10, Invisible Woman dan Green Arrow, pasti anda lebih tahu tentang pelbagai ciri keperwiraan yang wajib dimiliki watak-watak superhero.
Ciri paling asas adalah bahawa seorang adiwira memiliki kuasa luar biasa serta menumpukan seluruh masa dan tenaga untuk melindungi orang awam. Demikianlah ciri adiwira sejak kelahiran watak Superman pada 1938.
Memandangkan watak Adiwira Najib boleh terbang dan sentiasa muncul tepat pada masanya untuk melindungi “rakyat pelbagai kaum” maka watak itu memenuhi ciri asas adiwira. Sekurang-kurangnya murid/pelajar tidak akan ketawa membaca komik berkenaan yang mungkin telah dibawa pengetua dan penolong kanan untuk didermakan ke perpustakaan sekolah.
Seorang adiwira juga memiliki kod etika dan moral yang amat tinggi. Dalam konteks Malaysia, saya kira, sekurang-kurangnya perlu memenuhi konsep “Islam Hadhari” yang diperkenalkan Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.
Pakaian pelik, senjata dan wahana adiwira
Adiwira barat biasanya digambarkan sanggup menggadai nyawa dan keselamatan diri demi orang awam tanpa mengharapkan sebarang balasan. Sambil berpegang teguh pada kod moral, ramai juga superhero (barat) yang tidak menggunakan senjata api; khususnya dalam komik yang disasarkan kepada kanak-kanak.
Adiwira Najib lulus sekali lagi kerana tidak digambarkan memegang sebarang senjata. Tidak juga ditunjukkan babak sebarang bahan letupan diikat oleh Adiwira Najib atau sekutunya pada tubuh watak wanita cantik. Tiada sebarang rasuah atau penipuan dalam urusan pembelian “wahana” (Sanskrit) atau kenderaan seperti kapal selam atau kapal angkasa atau kapal terbang atau motosikal yang digunakan oleh adiwira untuk pergi membantu orang ramai.
(Adiwira Najib tidak memerlukan wahana kerana dia boleh terbang ke mana-mana tanpa perlu risau memikirkan kesesakan jalan raya, jalan berlubang dan penggunaan kad Touch N Go di plaza tol.)
Hasil pengalaman membaca dan menonton kisah adiwira barat, saya dapati bahawa seorang adiwira perlu ada pakaian khas yang bertujuan menyembunyikan identitinya daripada dunia luar. Adiwira Najib digambarkan memakai pakaian yang lucu dan hanya akan sanggup dipakai sang badut yang mabuk.
Apa-apa pun, secara tidak langsung, Adiwira Najib berjaya menyembunyikan identiti sebenar. Katakanlah watak itu – saya namakan “Najib” tanpa merujuk secara khusus kepada sesiapa – adalah seorang penjawat awam atau seorang politikus.
Mustahil ada orang (termasuk isterinya) akan membayangkan watak Najib akan memakai pakaian sebodoh itu. Maka, apabila Adiwira Najib terbang dalam pakaian itu, tidak akan ada sesiapa yang boleh menduga bahawa dia adalah watak Najib itu tadi. Jika Clark Kent @ Superman boleh melakukannya, Najib @ Adiwira Najib juga boleh!
Satu lagi tujuan adiwira barat memakai busana/kostum khas yang kurang selesa dan kurang praktikal adalah bagi melindungi kaum-keluarga daripada menjadi mangsa kekejaman musuh peribadinya. Atau bagi mengelakkan polis daripada menangkapnya; seperti kes Spiderman. Tambahan pula, masakan Adiwira Najib mahu orang ramai tahu bahawa dia sebenarnya makan gaji buta dan sekadar terbang ke sana ke sini untuk “mencari masalah”. Kalau orang ramai – atau majikan – tahu kisah sebenar, tentu sudah lama dibuang kerja!
Akan tetapi, mungkin juga Adiwira Najib adalah umpama Iron Man dan Captain Amerika. Satu dunia (bagi Amerika Syarikat, negara berkenaan adalah “satu dunia”) sudah tahu siapa dirinya dan mengalu-alukan keadiwiraannya.
Pada kulit buku komik yang diterbitkan secara haram itu (tanpa maklumat pencetak dan nama penerbit yang gagal dikesan), watak Adiwira Najib digambarkan menyerupai Perdana Menteri tercinta kita, Datuk Seri Najib Razak. Terdapat frasa “I wouldn’t break your trust” (“Saya tidak akan menghancurkan nambikei anda”). Harap maklum bahawa jika anda tidak tahu makna “nambikei” maka anda tidak tahu apa-apa mengenai politik Malaysia.
Apa-apa pun, timbul pula persoalan, apakah watak Adiwira Najib (bukan nama sebenar) dalam komik itu sebenarnya mewakili Perdana Menteri yang amat kita cintai itu? Betapa bangganya kita sebagai Bangsa Malaysia kerana selepas kecewa dengan Badang yang makan muntah dan Hang Tuah yang terlalu mengikut kata pemerintah, kini kita ada politikus yang boleh terbang seperti Superman!
Siapa wira, siapa antagonis sebenar?
Atau mungkinkah juga Adiwira Najib (rekaan) dalam komik itu adalah makhluk asing (alien) yang menyamar sebagai Datuk Seri Najib (sebenar) tanpa pengetahuan sesiapa, termasuk isteri dan keluarganya? Jika begitu, di manakah Perdana Menteri tercinta kita disembunyikan? Di mana? Di mana? (Agak dramatik, bukan?)
Mungkinkah semua ini angkara musuhnya? Jangan kita lupa bahawa seorang adiwira tidak ada apa-apa makna jika tidak ada watak antagonis atau watak jahat yang menjadi musuhnya. Rujuklah mana-mana komik, kartun atau filem mengenai adiwira dan anda akan mengakui hakikat ini.
Musuh ketat Adiwira Najib adalah manusia biasa iaitu seorang perompak yang sudah siap tertera frasa “Bad Man” pada baju yang dipakainya. Dia sekadar perompak biasa dan tidak digambarkan ada apa-apa kuasa seperti dimiliki Adiwira Najib. Polis sahaja sudah cukup untuk menangkapnya. Watak jahat ini mengikat mata dengan kain hitam seperti Zorro tetapi mujurlah dia tidak memakai pakaian lucu dan “mengaibkan kaum-keluarga” seperti dilakukan watak rekaan Adiwira Najib.
Memandangkan watak “Bad Man” itu jahat, maka dia digambarkan seolah-olah seorang homoseksual. Pada halaman 31, misalnya, dia kelihatan mesra bersama-sama dua pemuda separuh bogel. Memang bijak tindakan pihak berkenaan mengedarkan komik ini kepada pengetua dan penolong kanan supaya mudahlah mereka mendidik murid/pelajar tentang Pendidikan Seks Sejenis di sekolah.
Tentu juga sebagai tambahan kepada Garis Panduan LGBT yang hangat diperkatakan berikutan Bernama dan Utusan Online (12 September 2012) melaporkan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai berkata bahawa “tidak ramai dalam kalangan masyarakat yang memahami atau mengenali simptom LGBT, khususnya tanda-tanda awal terjebak”.
Secara tradisi, kisah adiwira tidak akan tamat dalam satu buku komik. Biasanya akan ada sequel (susulan), prequel (prekuel), spin-off (keluaran sampingan) dan reboot (but semula). Perhatikan sahaja kisah-kisah Superman, Batman, Spiderman dan Wonder Woman, misalnya, untuk memahami hakikat ini. Ada kalanya orang lain – atau penerbit lain – akan meneruskan kisah keperwiraan si adiwira itu dengan menampilkan plot dan musuh baru.
Ada juga keadaan di mana kelemahan adiwira ditonjolkan dalam edisi khas. Dalam kes komik Adiwira Najib, tidak diketahui siapa pereka, pelukis dan penerbit sebenar. Maknanya, sesiapa sahaja berhak untuk “mengambil” watak fiksyen Adiwira Najib dan mengembangkannya.
Dalam hal ini, saya paling tertarik pada komik yang dihasilkan oleh Johnny Ong pada 7 Mei 2012. Dalam versi ini, Adiwira Najib memakai busana baru yang kurang lucu. Dia tidak digambarkan terbang tetapi sudah “mendarat” dan sedang berpaut pada dahan pokok.
Orang ramai kelihatan di bawah tetapi mereka tidak melaungkan “Hi! Superman” seperti sebelum ini. Sebaliknya mereka menuntut pilihan raya yang bersih! Agak ironik tetapi masih memenuhi kriteria perkembangan kisah watak-watak adiwira kerana “musuh” sebenar Adiwira Najib bukanlah watak fiksyen perompak kecil-kecilan yang memakai baju tertulis “Bad Man”.
Sebaliknya, “musuh” sebenar yang berjaya menumpaskan Adiwira Najib dalam komik ini adalah orang ramai, iaitu orang biasa yang tidak ada apa-apa kuasa istimewa; selain kuasa menuntut pilihan raya yang bersih. Demikianlah realiti dalam dunia komik adiwira di mana seorang superhero tidak semestinya mempunyai kuasa luar biasa untuk menyelamatkan negara daripada kemusnahan.-roketkini.com
[* Uthaya Sankar SB adalah penggemar kartun dan komik sejak usia kanak-kanak.]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.