Mengakui bahawa kerjasama ketiga-tiga parti menguntungkan mereka dalam situasi "menang-menang", kata beliau, tidak timbul soal gabungan itu hanya bersama kerana cita-cita politik untuk menakluk Putrajaya.
"Tidak. Saya optimistik bahawa kita bersama, kita bersatu, tubuh kerajaan pun bersama, kita akan bersatu, Insya-ALLAH. Itu keyakinan saya.
"Persefahaman di antara ketiga-tiga parti ini yang memahami bahawa kita mesti bergerak sebagai satu. Realiti politik di Malaysia, tidak ada satu parti yang boleh menang sendiri untuk perintah. Tidak ada," katanya dalam satu wawancara khas baru-baru ini.
Walaupun tidak menafikan adakalanya berlaku perbedaan pendapat dalam hal-hal tertentu, namun ujarnya, lebih banyak kebersamaan yang menyatukan perikatan itu selepas ia dibentuk pada 2008.
"Saya sebut acapkali perkara ini. Kita bukan seratus peratus sama," tegas beliau.
Pada pilihan raya lalu, pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga kerajaan Umno-Barisan Nasional sekali gus menzahirkan rekod terburuk parti itu sejak mentadbir negara ini.
Namun perkembangan politik semasa didendangkan bahawa tsunami politik 2008 telah berlalu dan tidak mungkin berulang.
Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mengepalai teraju Umno-Barisan Nasional dilihat berjaya menarik semula sokongan rakyat terhadap parti pemerintah.
Di sebalik itu dilaporkan pula PR berhadapan dengan krisis dalaman yang boleh membawa kepada perpecahan gabungan itu.
Pas, parti paling lama dalam perikatan itu disifatkan sudah lari daripada landasan asal perjuangannya dan dilaporkan sudah hilang taji apabila berhadapan dengan PKR dan DAP.
DAP pula digambarkan sebagai parti perkauman yang sering meminggirkan masyarakat Melayu sementara PKR dibelit dengan krisis identiti dan isu moral Ketua Umumnya.
Isu jawatan Perdana Menteri yang meletus dalam muktamar Pas baru-baru ini dilihat penganalisis sebagai gambaran paling jelas kepada perpaduan yang rapuh dalam gabungan parti yang baru setahun jagung itu.
Pas mahu presiden mereka dilantik sebagai Perdana Menteri, sementara DAP bertegas, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu paling layak.
Anwar selaku Ketua Pembangkang pula berkata, jawatan PM bukan "satu masalah" dan "boleh bincang" katanya.
Mustafa yang menafikan perkara-perkara seperti itu mampu menggugat perpaduan dalam PR menegaskan, perikatan itu punya iltizam dan arah tuju yang cukup jelas.
"Persamaan yang saya sering sebut kita sedang menghadapi situasi di mana kita sedang berhadapan dengan rasuah yang melampau, kezaliman, ketidakadilan...
"Jadi sebab itu kita sekarang ini hendak perjuangkan untuk keadilan, keadilan ini adalah asas kepada pejuangan kita dan bila tadbir ini kita mahukan tadbir urus yang baik, kita tidak mahu lagi rasuah seperti yang berlaku sekarang ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.