Roketkini.com
Dulu di sekolah rendah saya ada masuk kumpulan nasyid. Suara sebelum baligh jauh lebih merdu dari yang sekarang ini. Dalam banyak-banyak lagu nasyid yang saya hafal, ada satu lagu yang sangat saya gemari sehingga kini dan saya rasakan sangat relevan dengan berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di PWTC sana.
Nasyid yang saya maksudkan ini tajuknya ialah ‘Pengaduan Kepada Allah’, dipopularkan oleh kumpulan nasyid Nadamurni. Ini di waktu Al-Arqam dan nasyid-nasyidnya belum difatwakan sesat.
Rangkap pertama nasyid ini menyebut, ‘Tuhan Kau telah memberitahu kami, tentang peristiwa akhir zaman, peristiwa di zaman kami ini, melalui lidah NabiMu’. Rangkap-rangkap seterusnya tentang pemburuan manusia terhadap dunia dan perilaku jahat manusia terhadap manusia lain. Termasuk satu baris yang menyebut ‘Perempuan-permpuan dijadikan hiasan,’ yang mengingatkan saya kepada gambar di laman Facebook yang menunjukkan Timbalan Presiden UMNO disambut masuk ke persidangan dengan iringan gadis-gadis cantik di kiri dan kanan.
Namun yang lebih signifikan dalam nasyid ini ialah rangkap yang berbunyi, ‘Tuhan yang paling menakutkan NabiMu pernah bersabda, di akhir zaman yang paling jahat, ulama yang memandang dunia, tabiatnya busuk bak bau bangkai, siapa tercium kan mati jiwanya.’
Ini mengingatkan saya kepada sekelompok cerdik pandai agama siap dengan janggut dan kupiah yang menganggotai UMNO. Bukan setakat menjadi anggota malah menjadi pembela setia kepada segala kegiatan parti tersebut. Yang terbaru hari ini ialah perwakilan Arau yang mengepalai jabatan alim ulama muda UMNO, Fathul Bari namanya.
Laporan portal berita yang tidak dimiliki UMNO hari ini memberitahu bahawa Fathul Bari begitu giat mempertahankan hujahnya bahawa kaedah mendoakan kehancuran UMNO oleh PAS dalam muktamarnya baru-baru ini adalah salah. Walaupun sudah ada hujah yang memberi justifikasi kepada doa PAS tersebut, antara lain termasuklah daripada bekas mufti Perlis sendiri, Dr Mohd Asri Zainal Abidin.
Sambil menayangkan video di skrin besar Dewan Merdeka PWTC, sang ulama muda lantang mempertahankan partinya. Parti yang melazimi rasuah, salah guna kuasa, kronisme, nepotisme, menzalimi orang Melayu, dan menghalalkan politik jahat berasaskan perkauman sempit dan ketakutan dengan sentimen keagamaan.
Bait-bait nasyid di atas cukup sesuai dengan sikap yang ditonjolkan oleh beliau ini. Menepati sabda lain Nabi yang mafhumnya, ‘pada akhir zaman akan ramai ulama yang bertenggek di pintu-pintu istana pemerintah.’ Fathul Bari adalah contoh yang baik.
Namun saya yakin bahawa Fathul Bari punya ilmu tinggi dan nawaitu yang cukup baik untuk meneruskan usaha Dato Seri Anwar Ibrahim dahulu; untuk menyucikan UMNO dari dalam. Tahniah kita ucapkan kepada beliau. Semoga nanti tidak ada konspirasi untuk mengeluarkan beliau dari UMNO dengan tuduhan-tuduhan yang melampau.
Fathul Bari kelihatan segak dengan baju melayu merah dan janggut sejemput; lantas menambahkan seri kepada wajahnya yang kelihatan bersinar-sinar dengan nur cahaya iman. Walaupun mungkin pencahayaan di Dewan Merdeka itu begitu terang benderang dan membuatkan beliau nampak bergemerlapan, saya juga bahawa ada kebusukan yang sedang gagal ia sucikan pada tubuh sendiri sejak membuat keputusan untuk bersekongkol dengan UMNO.
Setakat pengamatan saya, belum ada lagi perkara menarik yang boleh membuatkan saya terpesona dengan UMNO sepanjang PAU mereka kali ini. Saya masih teringat kepada kezaliman parti pemerintah ini yang popular dengan kelaziman ‘mengepau’ harta rakyat untuk membeli kondo bagi dibuat kandang lembu.
Saya tambah tidak terpesona dengan keangkuhan yang diperlihatkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang begitu yakin dengan kemampuannya mempertahankan kerusinya di DUN Pelangai dalam Parlimen Bentong, sehingga sanggup mahu memotong telinganya sekiranya DAP menang di Bentong.
Ini mengingatkan saya pula kepada satu janji oleh seorang remaja di laman Twitter yang berkata beliau akan sanggup memotong zakarnya sendiri jika Malaysia menewaskan Laos dalam perlawanan bola sepak beberapa hari lalu. Penyudahnya Malaysia menang 4-1 ke atas Laos, dan pemuda tadi hilang tak dapat dikesan.
Alangkah besar malu yang ditanggung apabila suka meroyan tak tentu hala.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng apabila diminta mengulas tentang janji Adnan Yaakob itu menjawab mudah bahawa kenyataan sebegitu adalah bersifat kebudak-budakan dan tidak memberi faedah kepada rakyat.
Siapa pula yang menuntut beliau memotong telinga? Bukankah yang kita tuntut itu adalah perubahan yang memberi kebaikan kepada rakyat?
“Kalau boleh beri faedah kepada rakyat, potonglah,” ujar Guan Eng.
Maka menyambut seruan Fathul Bari marilah kita sama-sama berdoa moga-moga Adnan Yaakob tidak perlu memotong telinganya sekiranya DAP menang di Bentong kelak, meskipun Adnan mengangkat slogan ‘Janji Ditepati’. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.