SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Johor dan Negeri Sembilan antara tiga negeri yang
kembali dilanda banjir dengan merekodkan jumlah mangsa sehingga pagi ini
seramai 150 orang termasuk mangsa di Selangor.
Menurut laman portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), Negeri
Sembilan merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 71 orang melibatkan 27
keluarga diikuti dengan Selangor 58 orang melibatkan 17 keluarga
manakala di Johor seramai 21 orang melibatkan enam keluarga.
Portal MKN turut melaporkan banjir di Negeri Sembilan melibatkan
kawasan di Kampung Jimah Lama, Port Dickson dengan sebuah pusat
pemindahan dibuka di Sekolah Rendah Kebangsaan Jimah Lama.
Di Selangor banjir melibatkan kawasan di Jalan Kebun dan Bukit
Changgang, Kuala Langat dan sebuah pusat pemindahan dibuka di Dewan
Genting Sanyen, Kuala Langat manakala di Johor melibatkan banjir di
kawasan Kampung Spang Loi dan Kampung Awat, Segamat dengan sebuah
pusat pemindahan dibuka di Balai Raya masing-masing, menurut portal itu.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meminta penduduk di
beberapa kawasan di Perak, Negeri Sembilan, Johor, Pahang berjaga-jaga
berikutan bacaan paras air sungai melebihi aras amaran.
Kawasan terbabit ialah sekitar Sungai Plus di Kampung Lintang, Kuala
Kangsar di Perak, Sungai Rembau di Titian Bintangor, Rembau di Negeri
Sembilan, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat di Johor, Empangan Repas,
Bentong dan Sungai Triang di Triang, Bera di Pahang.
Setakat 9.30 pagi ini, bacaan Sungai Plus di Kampung Lintang, Kuala
Kangsar 54.53 meter, Sungai Rembau di Titian Bintangor, Rembau 6.53
meter, Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat 8.77 meter, Empangan Repas,
Bentong dan Sungai Triang di Triang, Bera mencatat 113.67 meter dan
34.10 meter iaitu masing-masing telah melebihi aras amaran. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.