Rabu, 28 November 2012

Umno janji bela bangsa Melayu, rakyat M'sia




 
MALAYSIA KINI
 
Umno hari ini berjanji untuk terus membela bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya, dengan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa sepanjang 66 tahun memperjuangkan Melayu dan Islam, Umno tidak pernah menganiaya mana-mana kaum.

"Justeru, Umno akan terus mengangkat suara Melayu di samping tidak melupai agihan keadilan untuk kaum-kaum lain seperti yang dituntut oleh agama.

"Inilah keadilan Umno. Inilah kesaksamaan Umno. Pejuang Umno tidak perlu merasa berdosa dan bersalah berada di atas landasan perjuangan Umno," tegasnya ketika merasmikan serentak perhimpunan agung tiga sayap Umno - Wanita, Pemuda dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Kepada mereka yang hadir di PWTC dan rakyat di luar sana, Muhyiddin berkata: "Inilah janji Umno dan Barisan Nasional."

"Kita sentiasa berusaha untuk mentransformasi negara, dan mensejahterakan rakyat tanpa perlu menggadai prinsip perjuangan yang murni. Inilah bezanya antara kita dan pembangkang.

"Tatkala pembangkang semakin terdesak untuk meraih undi dan merebut kuasa, mereka sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menggadai prinsip moral, maruah bangsa dan kesucian agama," katanya.

Muhyiddin juga meminta mereka merenung dan menilik apa yang dijaja oleh pembangkang dan apa yang dikota oleh Umno dan Barisan Nasional.

"Walaupun pembangkang mempamerkan kepada kita bahawa merekalah yang akan membawa sinar kesejahteraan kepada rakyat, janganlah kita terpedaya.

"Sinar yang mereka janjikan itu ibarat kilauan sekeping kaca yang hanya menanti saat retak dan pecah berderai. Kita pasti rakyat yang matang lagi bijaksana dapat membezakan antara kepalsuan kaca dan ketulenan permata,." tambahnya.

Dalam jaminan Umno untuk bangsa Melayu, Muhyiddin berkata parti itu terus komited untuk membela bangsa Melayu di mana usaha-usaha untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi orang Melayu diteruskan melalui insiatif-inisiatif yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera yang dipengerusikan sendiri oleh perdana menteri.

"Usahawan-usahawan Melayu dan Bumiputera akan terus diberikan peluang untuk mendapat manfaat limpahan ekonomi yang sedang pesat berkembang. Hari ini, dengan pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan menerusi agensi-agensi yang diwujudkan untuk memperkasa agenda Bumiputera, pegangan ekuiti Bumiputera telah meningkat dari 2 peratus pada tahun 1970 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010, dengan nilai sebanyak 167.7 bilion ringgit.

"Ini adalah satu pencapaian yang menakjubkan bagi parti kita dan bangsa kita. Insya-Allah, dengan pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan pada waktu ini, kita akan berjaya mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera menjelang tahun 2020," tegasnya.

Begitu juga dengan perjuangan Islam, yang menurut Muhyiddin Umno tidak pernah menggadai prinsip perjuangan Islam, malah sentiasa berusaha untuk memartabat dan meningkatkan syiar Islam.

"Sistem pendidikan Islam kita martabatkan, sistem undang-undang Islam kita pertahankan, sistem ekonomi Islam kita majukan. Hari ini dunia melihat Malaysia sebagai contoh negara Islam yang terbaik.

"Dengan kedudukan negara kita yang agak lebih ke hadapan berbanding negara-negara Islam yang lain, kita dapat pula membantu saudara Islam kita di seluruh dunia. Kita telah membantu saudara kita di Bosnia, di Gaza, di Myanmar dan di mana sahaja mereka memerlukan bantuan kita.

"Alhamdulillah, berkat kebijksanaan pimpinan negara kita, Malaysia baru sahaja membantu menyelesaikan konflik Bangsamoro di Filipina. Semua ini adalah hasil perjuangan Umno untuk memartabatkan Islam," tambahnya.

Menurutnya lagi, matlamat Umno mempertahankan Islam, membela nasib bangsa Melayu, memelihara kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat tanpa mengira kaum dan agama adalah "perjuangan suci yang kita galas hingga ke saat ini".

"Dengan asakan pelbagai dakyah songsang yang merungkai asas-asas agama, yang mencabar maruah bangsa, yang mengancam kedaulatan negara, maka landasan perjuangan suci Umno mesti kita perkukuhkan," katanya.

Umno di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sedang menerajui transformasi yang besar untuk negara dan "Umno telah merasai denyut nadi rakyat".

Mengenai pilihan raya umum, Muhyiddin berkata parti itu sedang berada di tengah pertarungan politik yang akan menentukan survival parti, masa depan bangsa dan kedudukan negara.

"Sebagai timbalan presiden dan pengarah pilihanraya, saya amat menghargai kegigihan, kesungguhan dan pengorbanan saudara-saudari mencurahkan bakti kepada parti tanpa mengenal penat lelah.

"Percayalah, segala usaha yang dicurahkan oleh saudara-saudari, segala keringat yang menitis ke bumi, akan menyumbang kepada kemenangan Umno dan Barisan Nasional. Insya-Allah," tegasnya.

Sehubungan itu, Muhyiddin mengingatkan bahawa perpaduan dalam parti adalah kunci utama kemenangan parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.