Jumaat, 2 November 2012

Parlimen Machang Yang Diidamkan Umno

MSO                  

Kerusi parlimen Machang merupakan kerusi kedua yang menjadi sasaran Umno selepas Ketereh. Ada beberapa faktor terkini menjadikan sasaran Umno ini mungkin akan menjadi kenyataan. Tindakan PKR membawa lari Saifuddin Nasution Ismail ke Kedah adalah antara penyebab kenapa kerusi ini seperti lemah dan mudah untuk 'dikeronyok' oleh Umno dalam pilihan raya akan datang.

Kisah Saifuddin dibawa ke Kedah, katanya bakal bertanding di Kulim - Badar Baru ada cerita tersendiri. Begitu juga penganugerahan darjah kebesaran membawa panggilan Dato' kepada Saifuddin adalah diusahakan untuk tujuan itu. Anugerah itu untuk memberi nilai tambah kepadanya.

Yang tentunya kalau tidak ada sebab musabab kenapa Saifuddin perlu mudik ke Kedah. Sebab atau faktor itu pasti yang kurang kondusif. Saifuddin bukan termasuk dalam calon luar yang diberi pandangan oleh sesetengah orang 'penasihat' Pas agar nyah keluar dari Kelantan. Kerusi Machang tidak terlibat kerana ia milik PKR. PKR bebas membuat penentuan terhadap nasib setiausaha agung PKR itu.

Kita 'komakan' dulu cerita kenapa Saifuddin ke Kedah, kita tumpukan apakah masalah-masalah yang boleh membawa keuntungan kepada Umno sehingga Umno menandakan kerusi Machang sebagai kelabu tidak hitam dalam pilihan raya akan datang. Serta mengkaji serba ringkas apakah hasil politik dengki khianat Pas - PKR atau politik tidak ikhlas akan menguntungkan dan merugikan kedua parti itu.

Dalam pilihan raya lalu walaupun Saifuddin menang tetapi undi diterimanya berbeza dengan ketiga-tiga undi (majoriti) di tiga Dun; Kemuning, Temangan dan Pulai Chondong. Saifuddin menerima 1,460 undi manakala majoriti dicampur dengan ketiga-tiga Dun itu yang diterima wakil-wakil Pas sebanyak 3,690 kira-kira 2,230 yang tidak mengundi Saifuddin. Logiknya Saifuddin patut mendapat jumlah yang sama, atau setidak-tidaknya majoriti diraihnya 2,000. Tetapi kenapa berbeza, tentu ada yang tidak kena, dimana ia perlu diberikan perhatian oleh Saifuddin dan PKR selepas itu.

Perbezaan itu sedikit sebanyak menyebabkan Saifuddin khasnya PKR merasa terkedu dan boleh beranggapan Pas tidak sepenuh hati menyokong mereka. Implikasi atau terjemahan dari itu bahawa Pas tidak bulat memberi kerjasama terhadap PKR. Di manakah kesilapan menyebabkan ini berlaku?Ia terjawab kalau semua pihak di Machang ikhlas mencari jawabannya.

Statistik atau perbezaan sebegini sangat mahal dan penting dalam politik untuk dibuat lonjakan dan menjadi penyuntik semangat kepada mana-mana pihak terutamanya lawan. Para penganalisa dan pengkaji dipihak Umno akan membuat tafsiran mudah bahawa perbezaan undi diraih itu menunjukkan tidak ada 'kekompakkan' di anatara Pas dengan PKR. Situasi itu memudahkan untuk mereka menyocok jarum atau menahan lukah di pergentingan. Hal itulah mungkin menjadikan Umno meletakkan parlimen Machang sebagai sasaran.

Kelemahan dan kekurangan ini tampaknya gagal diperbetul dan dibaikpulih oleh Pas amnya dan Saifuddin khasnya sehingga saat menjelang pilihan raya baru. Kelemahan atau pengabaian ini sehingga tidak memberi masa untuk memperkuatkan kedudukan kerusi Parlimen Machang menjelang pilihan raya menjadi kedua pihak bergelabah. Bukan saja Saifuddin terpaksa dimudikkan ke Kedah, Pas sendiri juga mula bergerunyut dengan perkembangan yang ada kini. Sesungguhnya Macahang bukan seperti Pengkalan Chepa atau Kubang Kerian kepada Pas. Machang adalah Machang yang pemilikannya silih berganti.

Bukan senang untuk PKR mempertahankan kerusi itu menerusi calon lain. Apa lagi PKR tidak ada tokoh sehebat Saifuddin untuk diletak di Machang bagi menggantinya.Khabarnya PKR telah memilih beberapa nama untuk diletak bertanding di Machang, ini termasuklah setiausaha peribadi kepada Saifuddin, dan timbalan setiausaha agung yang kini berkhidmat di sebuah agensi di Kelantan. Turut sama diletakkan sebagai calon bekas calon Umno yang pernah bertanding di salah satu Dun di Machang tahun 2004.

Zulkifli Mamat
Ketiga-tiga nama yang ditunjuk Saifuddin agar menggantinya itu dilihat sukar untuk mengekalkan kerusi berkenaan. Hakikat ini disedari sama oleh Pas. Lantaran kesulitan itulah maka timbul 'idea songsang' untuk menukar kerusi Machang dengan Bachok sebagai jalan menyelamatkan kerusi Macahang. Kononya kalau berlaku pertukaran calon yang dikira layak untuk mengambil tempat Saifuddin ialah Yang Dipertua Pas Machang, Zulkefli Mamat yang juga Adun Pulai Chondong.

Zulkefli dikatakan sudah pun mula membuat ground work untuk bertanding di parlimen. Katanya beliau telah mencadangkan satu nama untuk diletak di Pulai Chondong untuk menggantinya. Setiausaha Badan Perhubungan Pas ini merasakan dia lebih selesa untuk kerusi parlimen dari kekal di kerusi Dun kini. Zulkefli juga dikatakan bermasalah di Pulai Chondong.

Bagaimana idea ini tidak menjadi kerana perkiraan ke arah itu tidak dibuat secara halus dan cermat. Kegagalan ini boleh diletakkan kepada para perunding kedua pihak terutamanya PKR tidak begitu bijak dan melupai akan tradisi dan selera politik luar bandar Kelantan. Cadangan untuk meletakkan bekas Ketua Umno Bachok Zaiyadi Awang Noh sebagai calon PKR Bachok bukan sesuatu yang tidak bijak, tetapi separuh cerdik kerana usaha itu dilakukan kurang waspada.

Sebaik idea itu diecerkan orang mulai pertikaikan mengenai Zaiyadi. Bukan beliau tidak berkelayakan untuk menentang Awang Adek Hussein, tetapi statusnya yang masih lagi Umno dikatakan menjadi faktor idea itu tertolak begitu saja. Hajat untuk menarik Zayadi tanpa dia terlebih dahulu mengistyharkan diri keluar Umno dan menyertai mana-mana parti Pakatan Rakyat dilihat sebagai songsang. Sebab itulah saya namakan idea songsang. Orang atas boleh faham mengenai kuntai politik atau understanding politik yang belum sampai standard itu tetapi orang bawahan masih perlu diberikan pencerahan.

Politik bukan senang walaupun ada kalanya yang berlaku tanpa dirancang. Begitu orang melihat bagaimana senang Ibrahim Ali yang tidak ahli Pas boleh bertanding atas tikit Pas. Ia kelihatan mudah, tetapi sebenarnya bukan gampang. Kelicinan kemasukan Ibrahim itu disebabkan ada konsultan yang bijak. Tanpa kebijaksaan dan kuasa mempengaruh pihak-pihak tertentu ia tidak akan terjadi. Bukan bererti apabila Ibrahim boleh bertanding atas tikit Pas dalam statusnya masih huduh dan busuk, maka orang berifkir orang lain juga boleh. Tidak.. ia bukan semudah itu.

Ekoran kegagalan ide berkenaan juga menyebabkan Zaiyadi yang juga sudah mula mengaktifkan diri tertekan dan diejak orang ramai kini. Projek untuk menjual imejnya menerusi program Amanah Merdeka Malaysia (Amanah) yang dirancang sebelum Aidiadha baru-baru ini gagal mencapai matlamatnya. Ini menyebabkan Awanag Adek masih bebas menghembuskan asap cigar di Bachok.

Hari ini kerana kesilapan dan kegagalan formula itu menyebabkan kerusi Parlimen Machang kini bergelora sedikit dan sekiranya tidak dapat dilendik dan dicarikan satu formula lain ia mungkin akan hanyut dalam pilihan raya kelak. Saya tidak nampak kalau PKR yang bertanding tanpa sokongan padu Pas kerusi itu akan kekal. Di sini saya tidak mahu mengemukakan apa-apa idea atau formula, terserah kepada pihak PKR yang bijaksana dalam politik! Kesimpulannya sudah dua kerusi milik PKR akan terkubur!

Bersambung ke siri 4, kita akan memperkatakan kerusi Parlimen Bachok, apakah strategi Pas untuk memastikan Awang Adek tertumus?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.