Roketkini.com
BUTTERWORTH: Wanita DAP Pulau Pinang kesal dengan sikap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Najib Razak, kerana tidak mengambil langkah-langkah serius terhadap jenayah dan keganasan terhadap wanita.
Naib Pengerusi Wanita DAP Pulau Pinang, Mangaleswary Kumarasamy berkata, sebagai contoh, sehingga kini, tidak ada satu langkah yang konkrit telah diambil oleh kerajaan dalam isu rogol wanita Penan di pendalaman Sarawak.
Beliau yang mewakili Wanita DAP Batu Kawan menjelaskan bahawa Najib selaku Perdana Menteri juga perlu sedar bahawa hampir semua tempat secara umumnya sudah tidak lagi selamat untuk wanita.
“Kalau wanita di kawasan pendalaman seperti Sarawak menghadapi ancaman dirogol, malah mereka yang tinggal di kawasan bandar yang maju pun tiada bezanya.
“Malah terkini, dengan pembongkaran kes rogol dalam balai polis sendiri, sudah terbukti Malaysia tiada selamat sepenuhnya untuk wanita,” katanya dalam satu memorandum kepada Perdana Menteri yang turut diberi salinan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Beliau telah menyerahkan memorandum tersebut kepada pihak polis Seberang Prai Selatan dekat sini Sabtu lalu sempena Hari Menghapuskan Keganasan Terhadap Wanita anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sehubungan itu, Mangaleswary berkata, Najib perlu melepaskan jawatan “Menteri Wanita” jika masih malu atau enggan menangani serta mengulas tentang isu-isu jenayah, keganasan dan hak-hak wanita.
“Kami amat kesal dengan ketidakupayaan Datuk Seri untuk memainkan peranan seorang menteri wanita yang prihatin tentang nasib wanita di negara ini,” katanya.
Menurutnya, sejak Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri, kes rogol yang direkodkan tetap membimbangkan, iaitu lebih 3,000 kes rogol setiap tahun, yakni 3,301 kes rogol telah dilaporkan bagi tahun 2011, 3,595 kes (2010) dan 3,626 kes (2009), sebagaimana yang direkodkan oleh PDRM.
“Baru-baru ini, negara telah digemparkan dengan laporan bahawa seorang wanita Indonesia telah dirogol di dalam kawasan Balai Polis Perai, Pulau Pinang oleh anggota polis sendiri. Belum reda kes tersebut, muncul lagi satu kes, di mana seorang lagi wanita Indonesia mendakwa dirinya dirogol oleh anggota polis.
“Trend ini sangat membimbangkan. Balai Polis sepatutnya tempat yang paling selamat untuk seseorang itu, tetapi di Malaysia, Balai Polis itu sendiri sudah menjadi tempat yang tidak selamat kepada kaum wanita. Kami memandang perkara ini dengan serius sekali,” ujar beliau. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.