Selasa, 2 Oktober 2012

Pemilik IC palsu pengundi Parlimen Sepanggar dan Pasir Gudang

Oleh Aedi Asri

KUALA LUMPUR : Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh mendedahkan dua nama individu dimasukkan dalam data senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), walaupun mereka didapati bersalah oleh mahkamah kerana memiliki kad pengenalan palsu.

“Nama pertama adalah Hassanuddin bin Manna, warga Filipina yang didaftarkan mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dalam Parlimen Sepanggar.



“Nama kedua pula adalah Salleh Samsul, yang memiliki kad pengenalan dari Sabah dan mengundi di DUN Permas dalam Parlimen Pasir Gudang,” jelasnya pada sidang media di Parlimen hari ini.

“Ini bukan tuduhan, tetapi mereka didapati bersalah di mahkamah,” tegas Fuziah sambil menunjukkan salinan semakan daftar pemilih SPR dan laporan akhbar tentang keputusan mahkamah itu.

Turut hadir dalam sidang media itu, Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Akhbar Daily Express di Sabah pada 26 September lalu melaporkan, Hassanuddin, 37 memberitahu mahkamah beliau membeli MYkad palsu itu pada harga RM1,000 melalui rakannya, dengan nombor siri 741029-12-5463.

Beliau dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM3,000 atau penjara sebulan kerana memiliki dokumen palsu oleh Majistret, Norhamizah Shaifuddin.

Manakala laporan mengenai Salleh juga dilaporkan di akhbar sama edisi 21 September.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz pagi tadi ketika menjawab soalah Wilfred berkata, kemasukan warga asing di Sabah tidak mengancam keselamatan negara.

“Ini kerana pemantauan dan penguatkuasaan berterusan badan kerajaan seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Ikatan Relawan Malaysia (Rela),” katanya lagi.

Menempelak jawapan tersebut, Ahli Parlimen Kuantan itu berkata, warga asing yang memiliki kad pengenalan palsu ternyata mengancam keselamatan negara.

“Mereka mencuri hak dan harapan rakyat Malaysia (kerana) dibenarkan memilih pemimpin negara,” kecam Fuziah.

Dalam pada itu, Tian Chua mendesak kerajaan Umno BN supaya menjalankan siasatan dan segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) serta membersih daftar pemilih sebelum pilihan raya akan datang.

6 ulasan:

  1. Ada lebih banyak pemegang IC palsu yang boleh mengundi di luar sana.

    BalasPadam
  2. Adakah SPR mampu menjanjikan bahawa PRU13 ini telus?

    BalasPadam
  3. Maka SPR perlu berkerjasama dengan JPN bagi menyelesaikan masalah ini.

    BalasPadam
  4. SPR perlu lebih berhati-hati dalam mengatasi masalh IC palsu

    BalasPadam
  5. Pihak polis perlu segera banteras dalang disebalik IC palsu tu

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.