Jumaat, 26 Oktober 2012

Pakatan ulangi jaminan beri pendidikan percuma, hapus PTPTN dan tol

Oleh Mohd Martin Kahar

KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat (Pakatan) sekali lagi mengulangi jaminan akan mereformasi sistem pendidikan negara dengan memberi pendidikan percuma serta menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, Pakatan mempunyai beberapa pendekatan untuk mengurus ekonomi antaranya mereformasi pendidikan, meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurus sumber dengan baik tanpa ketirisan.

“Malaysia perlu bertukar daripada ekonomi yang bergantung kepada komoditi kepada negara modal insan yang inovatif dan kreatif. Caranya adalah mereformasi sistem pendidikan, memberi pendidikan percuma dan menghapus PTPTN,” katanya dalam forum “Bagaimana Kerajaan Pakatan Rakyat akan membelanjakan wang rakyat” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCH), kelmarin.



Rafizi berkata, untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, Pakatan berhasrat melaksanakan gaji minima RM1,100 yang dijangka dapat melepaskan rakyat daripada garis kemiskinan.

Menurutnya, Pakatan juga akan mengurangkan kos sara hidup antaranya penurunan harga minyak, cukai kereta serta penghapusan tol.

“Sebahagian besar pendapatan rakyat dibelanjakan untuk membayar ansuran kereta, membayar tol dan minyak. Jika kita dapat mengurangkan beban ini kita dapat meningkatkan lebihan daripada pendapatan mereka,” katanya.

Mengupas mengenai kebajikan wanita, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Pakatan berhasrat membelanjakan sehingga RM4.5 bilion peruntukan dalam Belanjawan 2013, merangkumi Skim Caruman Wanita Nasional (SCWN) yang menelan kos RM3 bilion dan Skim Elaun Penjagaan Anak (SEPA) melibatkan peruntukan RM940 juta setahun.

Menerusi SCWN, beliau berkata, Pakatan berhasrat memberi caruman sebanyak RM600 setahun kepada suri rumah sebagai persediaan keselamatan sosial termasuk kematian suami, penceraian atau kurang upaya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula menegaskan, kajian Bank Dunia menyatakan gaji minima RM1,100 Pakatan tidak akan memufliskan negara.

Katanya, dasar tersebut mampu mengurangkan penggunaan tenaga kerja warga asing dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Satu kajian lain di Indonesia pada 1990 merumuskan perlaksanaan gaji minima bukan mengurang pengangguran malah dapat mewujudkan perniagaan baru, peluang pekerjaan dan merapatkan jurang kekayaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.