Isnin, 1 Oktober 2012

Noh Omar yakin BN menang 32 kerusi DUN di Selangor


KUALA LUMPUR — Pemimpin veteran Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar (gambar) yakin Barisan Nasional (BN) akan menawan semula negeri terkaya tersebut dengan memenangi 32 daripada 56 kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 .

Ahli Parlimen Tanjung Karang tersebut berkata, dalam keadaan sekarang, masyarakat di Selangor mulai sedar bahawa Pakatan Rakyat (PR) tidak mampu memerintah negeri.

“Saya tidak mahu mendahului takdir, tetapi Insya-Allah saya yakin BN mampu kembali menawan Selangor, sekurang-kurangnya 32 buah kerusi,” kata timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor berkata kepada The Malaysian Insider baru-baru ini.

Menurut Noh yang juga menteri pertanian, calon menteri besar adalah tidak penting, kerana kemenangan adalah menjadi perkara yang utama.

“Semasa tahun 2008, mereka (Pakatan) pun tak tahu siapa calon menteri besar untuk mereka, jadi adalah lebih baik untuk BN memberi fokus untuk kemenangan untuk menawan kembali Selangor,” katanya.

Kerusi-kerusi di negeri Selangor dikatakan merupakan kerusi panas kerana negeri ini mempunyai pengundi baru yang ramai disamping merupakan negeri yang paling kaya dan maju di Malaysia.

Pada 8 Mac 2008, BN memenangi 20 buah kerusi daripada 56 kerusi DUN Selangor. PR memenangi 36 kerusi dengan 15 kerusi dimenangi PKR, 13 DAP dan 8 dari PAS.

Noh juga menolak kemungkinan beliau akan menjadi menteri besar Selangor walaupun desas desus mengatakan beliau dicalonkan sebagai jawatan tertinggi di negeri tersebut.

“Seperti yang saya katakan, saya tidak mahu mendahului takdir, saya masih lagi ahli parlimen Tanjung Karang, tetapi semuanya bergantung pada pucuk pimpinan.

“Yang penting kita gerakkan jentera parti untuk memenangi negeri ini, soal siapa menteri besar tidak penting,” kata Noh lagi, yang juga merupakan timbalan pengerusi perhubungan Umno negeri Selangor.

Bekas menteri besar, Dr Mohammad Khir Toyo juga menolak dari bertanding dalam pilihan raya akan datang, setelah mahkamah mendapati beliau bersalah dalam kes pecah amanah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.