Isnin, 1 Oktober 2012

Mohamad Hassan bakal digugur MB Negeri Sembilan?

DETIK DAILY
SEJAK kali pertama melangkah gah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hassan sudah mula tercium gerak-geri musuhmusuhnya dalam parti untuk menjatuhkan beliau di kedudukan terpenting di negeri Adat Perpatih itu.

Namun, Mohamad Hassan mampu bertahan sehingga kini meskipun rakan baiknya, Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas Perdana Menteri) yang menaikkan beliau ke jawatan tertinggi negeri itu kini telah tersingkir dari arus politik massa.

Kemerosotan besar prestasi ‘Team Abdullah’ pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 tidak menggugat kedudukan Mohamad Hassan, lantas Pengerusi BN Negeri Sembilan itu mula mencatur untuk berbaik dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang dilantik menggantikan Abdullah selepas PRU 2008.

Namun, usaha itu tidak berjaya kerana Mohamad Hassan harus berdepan dengan sekutu besar Najib di Negeri Sembilan iaitu bekas Menteri Besar, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas Adun Lenggeng, Dato’ Ishak Ismail yang sentiasa menyekat pergerakan MB Negeri Sembilan.

Sejak tahun 2006 lagi, Ishak yang juga Ketua Umno Bahagian Seremban telah mula menyerang kepimpinan Mohamad Hassan dengan mengaitkan isu-isu pemberian projek kerajaan negeri yang dicatur abang MB, Dato’ Azman Hassan.

Malah sewaktu menjadi Adun Lenggeng (2004- 2008), Ishak menyerang Mohamad Hassan termasuk di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam isu tersebut.

Nyata, kehadiran Mohamad Hassan yang juga seorang tokoh korporat tidak menyenangkan veteran Umno-BN Negeri Sembilan yang lebih senang dengan Isa Samad.

Selepas PRU 2008, timbul pula desas-desus Mohamad Hassan mahu digantikan dengan MB yang lain, namun segalanya tidak menjadi kerana ketika itu Umno dalam keadaan tenat kerana perpecahan dalaman antara puak Abdullah dengan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perpecahan itu dikaitkan dengan isu Mahathir tidak mendapat layanan istimewa dalam projek-projek membabitkan anak-anak dan kroninya semasa zaman Abdullah menerajui kerajaan khasnya dalam projek ‘jambatan bengkok’ di Johor.

Dalam pada itu Mohamad Hassan terus mengintai peluang mendekati Najib melalui beberapa program yang diadakan di Seremban dengan beberapa kali mempromosi kehadiran isteri PM, Datin Seri Rosmah Mansor.

Begitupun strategi itu kurang berjaya, malah mutakhir ini dalam beberapa siri lawatan Najib ke Negeri Sembilan mendapati ramai dikalangan veteran Umno dan pimpinan bahagian tidak senang dengan kelibat Mohamad Hassan.

Perasaan tidak senang itu membawa kepada usaha pihak tertentu untuk menampilkan calon lain bagi menggantikan Mohamad Hassan selaku MB sekiranya BN masih menerajui negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Namun, di sebalik semua percaturan itu, Mohamad Hassan dikatakan menyedari kedudukannya yang kini boleh diumpamakan seperti telur di hujung tanduk. Sumber dalaman Umno Negeri Sembilan kini terdapat usaha dan lobi pihak tertentu untuk menjatuhkan Mohamad Hassan dan menggantikan dengan beberapa tokoh yang kini duduk di Kabinet Najib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.