SINAR HARIAN
KOTA BAHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
(MAIK) akan menyiasat dakwaan ada imam atau khatib yang tidak membaca
teks khutbah yang diedarkannya termasuk khutbah khas Aidiladha tahun
ini.
Setiausaha MAIK Che Mat Che Muda berkata pihaknya akan mengambil
tindakan jika mereka yang dilantik oleh MAIK itu ingkar arahan dengan
sengaja tidak membaca teks khutbah yang disediakan.
Kebiasaannya MAIK mengeluarkan teks khutbah khas untuk Aidilfitri dan
Aidiladha yang disahkan Pengerusi Jawatankuasa Panel Khutbah yang juga
Mufti Kelantan dan diedarkan kepada masjid di bawah pentadbirannya untuk
dibaca kepada jemaah, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan ada imam atau khatib di negeri ini yang membaca
khutbah berbau politik dan boleh mengelirukan umat Islam yang
disediakan pihak lain.
Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia Datuk Ibrahim
Ali turut mengecam Dewan Ulama PAS Kelantan yang didakwa masih
mengeluar dan menyebarkan teks khutbah yang dianggap mengelirukan dan
menanam bibit kebencian terhadap pemimpin negara.
Bagaimanapun, Che Mat berkata ada surau dan madrasah yang bukan di
bawah pentadbiran MAIK menggunakan khutbah yang disediakan pihak lain,
dan ini di luar kawalan MAIK. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.