Jumaat, 26 Oktober 2012

Kit Siang selar MCA membisu berhubung jawapan menteri berkenaan hudud


KUALA LUMPUR— Penasihat DAP Lim Kit Siang menyelar pemimpin MCA yang membisu berhubung jawapan Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa hudud hanya melibatkan golongan Muslim dan tidak terpakai untuk bukan Islam.

Jawapan menteri yang memegang portfolio agama Islam itu kata  Lim, jelas bercanggah dengan pendirian Datuk Seri Chua Soi Lek yang begitu tegas dan nyata menolak pelaksanaan hukum Islam di negara ini.

"Masih tiada jawapan lagi dan yang ada cuma senyap sunyi!

"Bagaimana ini boleh terjadi apabila sejak dua tahun lalu, Chua telah mengepalai puak-puaknya yang terdiri daripada menteri dan timbalan menteri MCA mengelilingi negara dengan satu-satunya tema kempen iaitu “tipu” untuk mengatakan hudud tidak akan melibatkan orang bukan Islam," kata Lim (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Ipoh Timor itu menjelaskan lagi, dengan sikap Dr Chua berkenaan hudud itu, "mereka tentu sekali akan memarahi Jamil Khir kerana 'menipu' di Parlimen.

"Adakah mereka akan meminta tindakan keras terhadap Jamil daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memandangkan jawapan parlimennya bercanggah dengan pendirian MCA di dalam Barisan Nasional (BN) atau adakah MCA akan memutuskan perikatannya dengan Umno disebabkan jawapan parlimen Jamil?" soal Lim.

"Adakah Chua pemimpin MCA cuma bermain politik, tanpa benar-benar yakin dengan apa yang diperjuangkan, dan peranan mereka hanyalah seperti yang digambarkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir  iaitu “pendirian tidak bertolak ansur” MCA terhadap hukum hudud pada Perhimpunan Agung MCA minggu lepas hanyalah bertujuan “menakut-nakutkan” komuniti Cina dan bukan ditujukan kepada kaum Melayu atau umat Islam.

"

Tambahnya, disebabkan itulah MCA “tidak pernah membantah” apabila Mahathir secara sebelah pihak, sembarangan dan tidak mengikut perlembagaan membuat “deklarasi 929” bahawa Malaysia adalah Negara Islam pada Persidangan Delegasi Nasional Gerakan, 29 September 2001.

Veteran DAP itu turut menyelar MCA yang menurutnya tidak konsisten dalam isu hudud, seperti mana DAP yang berpegang pada prinsip bahawa ia tidak sesuai untuk masyarakat Malaysia yang majmuk dan ia bukannya sebahagian daripada dasar bersama Pakatan Rakyat.

"Sebaliknya, MCA hanya memainkan wayang politik yang tidak bertanggungjawab memandangkan apabila sampai kepada analisis terakhir, mereka akan menurut kehendak dan arahan Umno," katanya dalam kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.