Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih Malaysia, Azli Paat berkata, larangan berkempen secara fizikal iaitu ceramah dan sebagainya masih boleh dikawal, namun untuk media sosial nampak sedikit janggal.
"Peraturan baru yang dikeluarkan oleh SPR, akan menjadi bahan jenaka oleh semua pihak kerana ia sukar untuk dilaksanakan... malah peraturan sebegini tidak boleh diaplikasikan di zaman siber kini," katanya kepada Sinar Harian Online.
Azli menambah, "kalau dulu, jam sembilan malam mereka sudah tidur, kini dengan adanya teknologi yang pesat membangun, jam tiga pagi belum tentu mereka akan tidur."
"Maka di mana rasionalnya jika peraturan sebegitu rupa diaplikasikan?" kata beliau lagi.
"Ada peraturan yang lama boleh dibawa ke hari ini, malah ada peraturan yang tidak boleh dibawa ke hari ini yang kita mempunyai teknologi yang canggih," kata Azli lagi.
Beliau turut menambah, kewujudan 'cybertroopers' yang memainkan pernan dalam setiap parti juga tidak dapat dihalang kerana meraka ini dibayar oleh parti politik yang bertanding dalam PRU13.
"Setiap parti politik, mempunyai 'cybertroopers' mereka sendiri... jika ia dikuatkuasakan ia sukar untuk dilaksanakan," kata Azli yang juga Presiden Persatuan Pembekal Kandungan Mudah Alih Malaysia.
Azli memberikan contoh di negara lain seperti Singapura misalnya, turut melaksanakan larangan berkempen menggunakan media sosial, tetapi bukan selepas jam 12 malam.
"Di Singapura sendiri turut mempunyai peraturan yang sebegini melarang mana-mana parti politik untuk tidak berkempen menggunakan medium siber seperti Facebook, Twitter, blog dan sebagainya, tetapi tiada tempoh masa yang ditetapkan," kata beliau.
Tambah beliau, masyarakat yang dikelilingi teknologi tidak dapat menghalang mereka dari mendapatkan maklumat tanpa sempadan.
Justeru, katanya, satu peraturan yang jelas dan teratur perlu dikeluarkan untuk mengelakkan dari kekeliruan.
"Rakyat Malaysia kini 'borderless'... bila ada isu sebegini, peraturan yang ingin diwartakan harus selari dengan peredaran masa, jika tidak ada di kalangan mereka akan keliru dengan segala jenis peraturan," katanya.
"Kalau dulu, kita ada larangan berkempen seperti ceramah dan sebagainya dan itu jelas... untuk peraturan sebegini seharusnya jelas. Sebagai contoh jika ada bendera parti politik ketika proses pembuangan undi, ia mesti diturunkan... begitu juga dengan parti yang berkempen di dalam medai sosial," kata beliau.
Sementara itu, beliau mencadangkan beberapa garis panduan boleh dilaksanakan seperti melarang mana-mana akaun laman sosial rasmi parti politik untuk berkempen.
"Saya mencadangkan laman sosial rasmi parti politik tidak mengeluarkan apa-apa perkataan yang dikaitkan dengan berkempen dan sebagainya... malah ayat yang digunakan seharusnya tidak terlampau yang boleh mencetuskan kemarahan pihak tertentu.
"Selain itu, kalau SPR nak juga laksanakan peraturan ini, mereka boleh tutup terus akaun Facebook atau mana-mana laman sosial yang sering digunakan untuk berkempen... kalau kewujudan 'cybertroopers' memang tidak dapat dikawal," kata Azli lagi.
Azli turut mengingatkan kepada pengguna Internet, masyarakat khususnya perlu memanfaatkan teknologi yang ada dengan sebaik mungkin kerana jika disalah guna ia bakal mengundang masalah kepada semua orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.