Isnin, 29 Oktober 2012

‘Jentera Impian’ DAP bawa harapan baru

Roketkini.com



SEREMBAN: Seakan sebuah babak dari filem Transformers, DAP melancarkan kenderaan kempen pilihanraya; sebuah treler panjang yang berubah menjadi pentas ceramah,  ditemani dua lori lebih kecil berfungsi sebagai gerai dan pejabat bergerak.

Diberi nama ‘Dream Machine’ atau Jentera Impian, kenderaan tersebut dilancarkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, di sini malam tadi dalam rangka berhadapan dengan kempen pilihanraya umum ke-13 yang menjelang tiba.

Ketiga-tiga kenderaan tersebut dihiasi maskot burung enggang UBAH dan dilitupi slogan ‘Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia’ dengan hiasan yang diharapkan bakal memikat pandangan orang ramai.

Bercakap kepada media, Ketua Pemuda DAP merangkap Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata bahawa treler tersebut adalah pentas mudah alih dengan latar belakang besar dan sedikit tata cahaya.

Katanya lagi, trak-trak tersebut dipinjamkan kepada DAP oleh penyokong parti untuk tujuan kempen pilihanraya.

“Trak ini bukan milik kita. Kita tidak melabur apa-apa. Hanya ada kumpulan penyokong yang meminjamkan kenderaan ini dan mengubahsuai kenderaan itu mengikut keperluan,” kata beliau kepada media.

Menurut beliau lagi, nama ‘Jentera Impian’ (The Dream Machine) yang diberi oleh Guan Eng menggambarkan bagaimana kenderaan tersebut akan memberi harapan dan akan membantu merealisasikan
 impian rakyat Malaysia untuk mengubah kerajaan

.

Sebelum ini, PKR telah turut melancarkan bas dan treler yng dihiasi gambar Ketua Umumnya, Dato Seri Anwar Ibrahim.

Bas Jelajah Merdeka Rakyat itu bagaimanapun telah menjadi sasaran serangan ganas dari puak pro-UMNO sejak hari pertama ia dilancarkan.

Namun, Pakatan Rakyat tidak pernah undur walaupun diserang hebat melalui media yang dikuasai UMNO-BN mahupun tindakan ganas membaling batu can cat merah oleh kumpulan-kumpulan rasis. – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.