Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Amat
memeritkan perasaan apabila melihat sesetengah pihak menyebut: “Nak
faham Islam ini susah, kami tidak cukup masa, ada macam-macam kena buat
masa muda ini. Tunggulah kami dah tua”.
Ungkapan ini lahir dari salah
tanggapan mereka bahawa Islam adalah agama yang sukar difahami dan
sukar untuk diamalkan. Ini berpunca dari cara pengajarannya yang susah
dan isi yang dipayah-payahkan oleh sesetengah pihak.
Dengan
kita akur untuk menjadi pakar ilmu-ilmu Islam memanglah tidak mudah,
bahkan menjadi pakar apa-apa ilmu pun tidak mudah. Namun memahami dan
mengamalkan Islam secara umumnya adalah mudah dan mampu dicapai oleh
setiap lapisan manusia.
Jika tidak
bagaimana mungkin Islam menjadi agama sejagat yang diutuskan untuk
setiap insan tanpa mengira lantar kehidupan dan pendidikan.
Antara cuai dengan memayahkan
Namun
begitu, menjadikan agama begitu payah dan sukar hingga melampaui
batasan yang diperuntukkan oleh nas-nas agama juga satu kesalahan.
Firman Allah (maksudnya):
Mereka
yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW) nabi yang ummi, yang mereka
dapati dia tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan
Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan
perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan
perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda
yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan
dia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu
yang ada pada pada mereka. (Surah al-‘Araf: 157)
Firman
Allah lagi (maksudnya): Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan
Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185).
Firman
Allah juga (maksudnya): Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban
hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.
(Surah al-Nisa: 28).
Menyusahkan gambaran Islam
Maka
hukum-hakam yang mereka ajar kelihatan begitu susah untuk difahami,
apatah lagi untuk dihayati. Lihat sahajalah, haji yang hanya beberapa
hari untuk ditunaikan, tetapi kursus yang dibuat berbulan-bulan lamanya.
Ia diajar
dengan cara yang sukar disebabkan berbagai faktor. Salah satunya; tokok
tambah ajaran agama yang menyebabkan orang awam sentiasa keliru dan
tidak mampu kerana terpaksa menghafal berbagai ayat dan peraturan yang
sebahagian besarnya tidak pernah diajar pun oleh hadis-hadis Nabi SAW
yang sahih.
Ini seperti menetapkan berbagai bacaan khas bagi setiap pusingan tawaf. Lalu mereka buat bisnes pula bagi yang tidak mampu menghafal dengan menjual buku atau alatan tertentu.
Ini seperti menetapkan berbagai bacaan khas bagi setiap pusingan tawaf. Lalu mereka buat bisnes pula bagi yang tidak mampu menghafal dengan menjual buku atau alatan tertentu.
Demikian
juga kecenderungan sebahagian pengajar hukum-hakam syarak untuk
menjatuhkan hukuman haram dan batal amalan seperti terbatal akad nikah
hanya kerana terputus nafas, atau terbatal solat kerana pergerakan
lebih dari tiga kali, terbatal puasa kerana berenang dalam kolam dan
seumpamanya.
Sedangkan
nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak pun menyatakan demikian. Di
samping itu, kecenderungan memperincikan perkara yang tidak perlu
sehingga ramai yang jadi keliru. Umpamanya memperincikan syarat niat
yang bukan-bukan.
Sehingga
ada buku yang menetapkan puluhan syarat niat. Bukannya menjadikan orang
faham maksud niat, sebaliknya bertambah kabur. Pada hal setiap aktiviti
insan secara sedar mempunyai niat.
Maka
dengan itu kita katakan “membunuh dengan niat”, sekalipun si pembunuh
tidak melafazkannya secara lisan ketika hendak membunuh atau menghafal
syarat niat. Malangnya, akibat salah ajaran, seseorang berulang kali
bertakbir dalam solatnya.
Kononnya, belum masuk niat. Padahal, jika dia tidak berniat solat, bagaimana mungkin dia boleh berada di saf untuk solat?
Demikian
juga memperincikan tentang jenis-jenis air dalam berwuduk berbulan
perbahasannya sedangkan solat diperlukan lima kali sehari. Inilah yang
menyebabkan ada yang baru masuk Islam tidak solat berbulan kerana bab
wuduk belum habis dibincangkan.
Ekslusifkan agama
Sebenarnya,
bukan tidak kesampaian, tetapi pendekatan pengajaran yang telah
melanggar garis panduan Nabi SAW lantas menyanggahi logik insan. Hal ini
berbeza dengan arahan baginda SAW.
Baginda
bersabda: “Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya
melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat
dan gembirakanlah mereka.” (Riwayat al-Bukhari)
Pendekatan
Nabi SAW adalah pendekatan mudah yang membolehkan sebanyak mungkin
manusia merasai kebersamaan mereka dalam Islam ini.
Antaranya
baginda mengkritik imam yang memanjangkan solatnya, tanpa meraikan
keadaan makmun yang berbagai di belakangnya. Baginda bersabda:
“Wahai
manusia! sesungguhnya di kalangan kamu ada yang menyebabkan orang lari.
Sesiapa di kalangan kamu yang bersolat (menjadi imam) untuk orang
ramai, maka ringkaskanlah, kerana di kalangan mereka ada yang tua,
lemah dan yang mempunyai urusan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Pendekatan
yang menyukarkan ini berlarutan sehingga dalam masalah pengajian
akidah. Sesetengah perbincangan akidah dipengaruhi oleh falsafah lama
yang kadangkala tidak membawa sebarang kekuatan kepada akidah, bahkan
kepada kepenatan akal dan kecelaruan sahaja.
Ini
seperti Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat
lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian
diikuti dengan falsafah-falsafahnya yang memeningkan.
Keletihanlah anak-anak muda untuk memahaminya. Bahkan kadang-kala guru yang mengajar pun tidak faham.
Untuk mengelakkan dia dipersoalkan dia akan berkata: “Barang siapa banyak bertanya maka lemahlah imannya.”
Maka
tidak hairanlah jika yang baru menganut Islam kehairanan bertanya:
Mengapa Tuhan itu ada, selepas lawan maka Dia sudah tiada?
Maka akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah.
Akidah itu mudah difahami
Akidah
Islam adalah akidah yang bersih dan mudah difahami. Bacalah al-Quran
dan al-Sunah, lihatlah perbincangan akidah dalam kedua sumber agung itu,
sangat jelas dan tidak berbelit-belit.
Dalam
hanya beberapa ayat seperti isi al-Ikhlas, al-Quran menyerlah konsep
akidahnya, tidak perlu memayah-mayah. Dalam ajaran Islam, persoalan
tauhid dan akidah adalah perkara yang paling mudah dan senang untuk
difahami oleh semua lapisan umat.
Ini kerana
memahami akidah satu kemestian termasuk yang buta huruf, Badawi di
padang pasir sehinggalah kepada golongan yang terpelajar dan cerdik
pandai.
Maka tidak
hairanlah pada zaman Nabi SAW, para perwakilan yang datang mengambil
ajaran Islam dari baginda dalam beberapa ketika sahaja, namun mampu
mengislamkan keseluruhan kabilahnya. Sebab, konsep yang jelas dan
mudah.
Kalaulah
perbahasan akidah begitu sukar dan susah seperti yang difahami oleh
golongan ahli kalam dan falsafah, bagaimana mungkin golongan awam yang
buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk
memahaminya?
Kata Dr
Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun
mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia
bukannya akidah….Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah
terpengaruh dengan pemikiran Yunani dan cara Yunani dalam menyelesaikan
masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan
ahlinya serta berkeras terhadap mereka.” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, ms. 92, Beirut: Muassasah al-Risalat)
Sebab
itu, barangkali dakwah kepada akidah Islam di tempat kita tidak subur.
Sebaliknya cerita keluar Islam yang disuburkan. Proses pemulihan akidah
pun dalam banyak rekodnya adalah gagal.
Ini kerana
kita banyak berfalsafah dari membahaskan akidah berdasarkan al-Quran
dan al-Sunah. Maka bacalah buku-buku akidah yang jelas membimbing jiwa
dan akal secara fitrah. Bukan falsafah yang menyusahkan.
Ruang untuk semua
Anda tidak
diwajibkan berkopiah, atau berjubah. Pakailah apa sahaja yang anda
selesa. Bukan syarat masuk ke masjid mesti berketayap. Jangan kita
letakkan syarat hendak memahami agama ini yang bukan-bukan.
Nanti
ramai yang tidak sampai maklumat Islam kepadanya. Atau syarat-syarat
itu akan menjadi peraturan yang dianggap agama, akhirkan diwajibkan
secara tidak sedar. Lihat saja sebahagian wanita Muslimah kita, mereka
sekalipun telah menutup aurat, namun jika tidak memakai telekung mereka
rasa sukar untuk solat.
Bahkan ada yang rasa tidak boleh bersolat tanpa telekung. Padahal telekung itu, hanyalah budaya Asia Tenggara. Solatlah dengan pakaian anda selagi menutup aurat.
Bahkan ada yang rasa tidak boleh bersolat tanpa telekung. Padahal telekung itu, hanyalah budaya Asia Tenggara. Solatlah dengan pakaian anda selagi menutup aurat.
Kehidupan Islam praktikal
Ini
seperti apabila ditonjolkan watak orang saleh ialah lelaki yang
berserban, tangan memegang tasbih sentiasa, tidak bergaul dengan manusia
biasa, sebaliknya hanya berjalan sendirian. Itulah wali kononnya.
Adakah
Nabi SAW dan para sahabahnya berwatak demikian sehingga kita jadikan
itu ciri-ciri orang saleh?
Tidakkah berjalan dengan sentiasa memegang
tasbih lebih menampakkan ciri-ciri riyak dalam amalan?
Sebab itu al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) mengkritik sebahagian dari sikap ini dengan menyatakan:
“Di kalangan golongan zuhhad (golongan
sufi) ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dan
membiarkan serban dan janggutnya tidak berurus untuk menunjukkan dia
tidak mementingkan dunia. Ini sebahagian dari riyak (menunjuk-nunjuk).”
(Ibn Jauzi, Talbis Iblis, ms 179-180, Beirut: Dar al-Kutub
al-`Ilmiyyah)
Lebih
buruk lagi, penonjolan watak yang seperti itu menjadikan Islam tidak
praktikal untuk semua manusia, sebaliknya hanya untuk beberapa kerat
manusia ajaib sahaja.
Demikian
juga, kadang-kala buku-buku kerohanian menggambarkan untuk mendekatkan
diri kepada Allah begitu sukar sehingga seakan tidak akan dicapai oleh
manusia biasa.
Pengamal
Islam itu seakan manusia maksum seperti malaikat. Bebas dari urusan
dunia. Ini boleh mematahkan semangat orang awam dari menghayati Islam.
Padahal
Nabi SAW dan para sahabah tidak demikian rupa kehidupan mereka.
Sehingga Dr Yusuf al-Qaradawi mengkritik beberapa pandangan al-Imam
al-Ghazali RH dengan katanya:
“Apa yang
dapat difahami dari himpunan kitab-kitab sufi al-Ghazali yang
mengandungi pengaruh kezuhudan yang kuat – sekalipun secara tidak
langsung – bahawa insan contoh di sisi al-Ghazali dan golongan sufi
secara amnya bukanlah insan yang dikenali oleh para sahabah RA, yang
difahami dari al-Quran, al-Sunah dan sirah.
Insan
contoh yang difahami oleh para sahabah ialah insan yang menghimpunkan
antara dunia dan akhirat, antara hak dirinya dan Tuhannya, antara
meningkatkan roh dan berkhidmat kepada masyarakat, antara menikmat
nikmat dunia dan bersyukur kepada Allah Taala, antara beribadah dan
berjalan serta bertebaran atas muka bumi mencari kurniaan rezeki-Nya,
yang bekerja untuk dunia seakan hidup selamanya dan beramal untuk
akhirat seakan akan mati esoknya.” (Dr Yusuf al-Qaradawi, al-Imam al-Ghazali: Baina Madihih wa Naqidih, ms 164, Beirut: Muassasah al-Risalah)
Mesti bersifat alternatif
Maka
sempitlah umat ini dengan keputusan-keputusan haram dalam banyak
perkara. Sebelum menjawab saya ingin kata: kita semua hidup dalam
keadaan haram kerana selalu bergantung kepada orang lain dan tidak
menunaikan fardu kifayah memerdekakan umat.
Sehingga
akhirnya masyarakat dunia kata; kita hanyalah umat yang tahu
mengharamkan, bukan menghasilkan produk untuk kebaikan manusia.
Dalam
usaha menarik semua lapisan mendekati Islam, marilah kita
mempersembahkan kepada masyarakat, Islam yang mudah dan praktikal
seperti mana wajahnya pada zaman teragungnya iaitu era Nabi SAW dan
para sahabah baginda.
Jika
tidak, agama ini akan menjadi begitu eksklusif hanya untuk kelompok
tertentu sahaja dan ditinggalkan lautan umat yang dalam kesesakan.
Penulis adalah bekas mufti Perlis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.