KUALA LUMPUR – Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB) mahu mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bagi mencari jalan penyelesaian pengurusan industri teksi Malaysia yang disifatkan terburuk di dunia.
Pengerusinya, Amran Jan berkata, pihaknya amat kesal kerana pihak pengusaha gagal memperbaiki pelbagai kelemahan yang diketengahkan warga pemandu teksi.
Lebih mengecewakan, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pengusaha dilihat bersungguh-sungguh menidakkan tuntutan berkaitan kebajikan dan hak pemandu teksi.
“BBPTB ingin menarik perhatian umum bahawa warga pemandu teksi bukanlah punca utama perkara ini berlaku.
“Jika dilihat secara menyeluruh, ia adalah disebabkan oleh kegagalan sistem industri itu sendiri berfungsi,” katanya pada satu sidang media di Lobi Parlimen.
Antara keluhan yang dibangkitkan adalah kewujudan sistem kupon yang mengenakan caj 10 peratus ke atas tambang yang ditetapkan oleh operator kaunter namun dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz di Dewan Rakyat.
Dalam jawapan bertulis Nazri kepada Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh di Dewan Rakyat menyatakan, sistem baru yang diwartakan di bawah Peraturan 311 LPKP adalah sistem beresit iaitu operator kaunter dibenarkan mengenakan caj tidak melebihi RM2 dan teksi diwajibkan menggunakan meter.
Menurut Amran, kaunter kupon berkenaan berada di beberapa lokasi di Kuala Lumpur Seperti Hentian Duta, Times Square, Pudu Sentral dan KL Sentral.
“Bagaimana aktiviti ‘haram’ di sisi undang-undang ini bebeas beroperasi tanpa gangguan menteri dan SPAD?
“Mengapa hendak menipu masyarakat umum terutamanya pemandu teksi?” soalnya lagi.
Justeru, BBPTB mendesak Tan Sri Syed Hamid Albar meletakkan jawatan selaku Pengerusi SPAD ekoran kegagalan beliau memenuhi tuntutan mereka.
Pada Selasa lalu, satu lagi persatuan pemandu teksi, Gerakan Prihatin Pemandu Teksi Malaysia (Teksi) mengadakan satu sidang media bagi menuntut pemberian permit teksi individu kepada semua pemandu teksi memandangkan sistem sedia ada hanya menguntungkan pengusaha dan kroni.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.