Ahad, 28 Oktober 2012

Fitnah: PAS tuntut Malaysia Nanban mohon maaf

Khairil Abdul Rahim,
 
TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menuntut akhbar harian berbahasa Tamil, Malaysia Nanban supaya memohon maaf serta menarik balik sebuah berita yang memfitnah Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, dalam berita berkenaan disiarkan kononnya Menteri Besar Kelantan itu sudah kecewa dengan DAP dan PKR yang banyak masalah justeru mahu bertemu dengan BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

(Gambar: Tuan Ibrahim di samping akhbar Malaysia Nanban yang ditunjukkan seorang India di Taman Seri Kemuning.)

“PAS amat kesal dan serentak dengan itu juga kita minta akhbar berkenaan segera mohon maaf  atau berhadapan dengan saman kerana mengada-adakan cerita yang tidak benar ini.

“Mesej berita itu sangat mengelirukan masyarakat kaum India kerana Tuan Guru tidak pernah bertemu dengan Najib dalam masa terdekat ini apa lagi mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Gambar Tuan Guru, (Datuk Seri) Najib dan (Datuk Seri) Adnan yang dipaparkan dalam berita berkenaan diambil dari album lama iatu pada 30 September tahun lalu semasa pelancaran motosikal Modenas dan ECER di sebuah hotel di Kuantan,” katanya.
 
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, beliau membuat penjelasan ini setelah banyak menerima panggilan daripada kaum India yang bertanyakan kedudukan sebenar dalam isu berkenaan yang disiarkan oleh akhbar itu 23 Oktober lalu.

Berita dari Klang itu tersiar di muka surat dua dan ditulis oleh MR Balu.

“Kita kesal dengan cara penulisan berita itu yang membelakangkan etika kewartawanan kerana diambil tanpa sumber yang tepat dan bersifat rekaan,” kata Tuan Ibrahim.

Menurut Tuan Ibrahim, moral PAS dan Pakatan Rakyat boleh tercemar di mata masyarakat terutamanya kaum India yang berkemungkinan melihat pendirian PAS sebagai parti paling senior, tidak teguh dalam gabungan berkenaan.

Tambahnya, yang bermain isu perkauman adalah Umno dan parti lain dalam BN sedangkan Pakatan tidak terusik dengan pelbagai provokasi dan tidak akan melatah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.