Kini, seluruh hayatnya dihabiskan di atas katil, ditemani suami, Sahar Sab, 63, yang setia mengurus keperluannya. Sekalipun terpaksa berkorban banyak perkara namun demi isteri tercinta, dia sanggup lakukannya.
“Saya tidak lagi bekerja sebab nak jaga isteri di rumah. Alhamdulillah ada anak-anak yang membantu serba sedikit untuk kurangkan bebanan. Beginilah keadaan dia sejak kemalangan tiga tahun lalu. Menyedihkan namun itulah kenyataan yang harus saya terima.
“Dahulu, dia cukup ceria malah melayan kami dengan penuh kasih sayang. Jadi tidak salah rasanya jika saya balas jasanya walaupun apa yang saya lakukan ini tidak seberapa dibanding pengorbanannya pada keluarga,” ungkap Sahar.
Imbasnya, hatinya bagai disiat-siat tiap kali mengingati peristiwa hitam yang menimpa isteri. Pada hari kejadian katanya, dia memang berasa tidak sedap hati.
“Petang itu seperti biasa saya ke kebun untuk menanam ubi. Apa yang peliknya, setiap kali cangkul berjaya mengorek tanah, akan ada seekor ular melintas di hadapannya. Saya cuba mencangkul ke bahagian lain tetapi keadaannya masih sama.
“Bukan sekali malah beberapa kali sampaikan saya tertanya-tanya dari mana ular-ular itu datang malah tiada ada seekor pun yang menyerang. Semuanya muncul dan pergi begitu sahaja. Seolah-olah memberi petanda buruk pada saya.
Bukan hendak percaya perkara-perkara tahyul ini tetapi biasalah, manusia tidak pernah sempurna. Saya masih memikirkan apa yang akan terjadi sambil hati berharap agar dijauhkan segala musibah.
“Bagi menenangkan keadaan, saya berehat seketika di bawah sepohon pokok. Ketika sedang berehat itu tiba-tiba kedengaran satu bunyi dentuman yang kuat. Hati saya kembali berdebar. Rasa macam nak pecah pun ada kerana kepala asyik fikir macam-macam. Mulalah saya terfikirkan isteri yang biasanya balik dari kerja di waktu-waktu begitu,” katanya sambil membetulkan kedudukan isteri.
Memandangkan rumah dan kebun tidak jauh, dia segera memanggil salah seorang anaknya untuk melihat apa yang berlaku. Tidak lama selepas itu, dia dikhabarkan dengan berita yang cukup menyakitkan.
“Kata anak, isteri terlibat dalam kemalangan sewaktu keretanya cuba masuk ke simpang rumah. Sebuah van telah melanggar kenderaannya, malah pemandu van tersebut telah melarikan diri. Saya dibantu dua anak cuba mengeluarkan isteri.
“Waktu itu saya sedaya upaya mengeluarkannya tanpa menanti bantuan lain. Di fikiran, hanya fikirkan nyawanya sahaja malah hati tidak putus berdoa agar isteri sentiasa selamat.
Kereta remuk teruk, terutamanya di bahagian pemandu sampaikan isteri terperosok masuk ke dalamnya.
“Alhamdulillah, setelah mencuba isteri berjaya dikeluarkan dan kami segera membawanya mendapatkan rawatan di klinik berdekatan. Malangnya, klinik menolak kes tersebut dan menyuruh kami ke hospital sahaja kerana ada doktor serta peralatan yang lengkap. Walaupun kecewa, kami masih tidak berputus asa. Isteri dibawa ke hospital untuk rawatan selanjutnya.
“Di sana, isteri diberi rawatan segera tetapi sekali lagi nasib tidak menyebelahi kami apabila doktor memberitahu isteri perlu dibawa ke hospital Sungai Buloh kerana di sana ramai pakar. Tanpa berlengah, saya bersetuju dengan cadangan yang diberikan. Menggunakan ambulan, isteri telah dipindahkan,” katanya bersungguh-sungguh.
Di Hospital Sungai Buloh, doktor telah melakukan pembedahan di bahagian kepala bagi mengeluarkan darah beku yang berkumpul di dalamnya. Dua bulan Suaibah koma dan selama tiga bulan dia berada di hospital.
Selama tempoh itulah juga Sahar setia menemani tanpa ada rungutan biarpun sekali. Sedikit demi sedikit dia belajar cara menguruskan isterinya dengan baik melalui jururawat yang bertugas. Hatinya menguatkan tekad untuk menjaga isteri selagi hayat dikandung badan malah perasaan cinta yang tertanam dalam dirinya tak pernah pudar walaupun sekali meskipun isteri disahkan lumpuh seluruhnya.
“Dia tetap isteri saya dunia dan akhirat. Telah menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga dan melindunginya jadi buat sahajalah. Lagipun bukannya susah sangat. Pagi-pagi saya akan mandikan isteri dan berinya minum susu melalui tiub.
“Selepas dibersihkan, saya akan bercerita dengannya. Sekalipun tak mampu membalas kata-kata saya namun saya tahu, dia juga memahami apa yang saya katakana melalui gerakan di bahagian anak matanya,” ungkap Sahar.
Beritahunya lagi ketika isteri dibawa pulang ke rumah dahulu, dia tidak cukup kemudahan untuk isterinya.
“Kami tak ada pun katil macam sekarang. Saya dan anak-anak kumpul wang untuk beli katil yang khusus agar dia berasa selesa. Malah peralatan-peralatan lain pun saya beli sendiri. Setakat ini hanya Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Perkeso sahaja yang membantu.
Itu pun sebenarnya isteri tidak layak untuk terima pencen dari Perkeso kerana carumannya tidak mencukupi. Semuanya gara-gara majikan yang tidak bertanggungjawab. Mujurlah mereka memberi bantuan ilat.
“Sedikit sebanyak ringanlah bebanan kami tetapi susu dan ubat-ubat sampingan kena beli sendiri. Untuk susu sahaja, kosnya lebih RM600. Belum lagi belanja-belanja lain,” jelas bapa kepada Suraya, 38, Suraimi, 36, Mohd Jefri, 30, Mohd Helmi, 29, Shariza, 27, Mohd Khairul Amri, 19, Norsyafika, 18 dan Norsyakira, 17.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.