Beliau mendakwa perintah pendakwa raya Zaki
Ashraf tidak sah kerana dikeluarkan di luar bidang kuasa dan/atau ultra
vires dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.
KUALA LUMPUR: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau Badrul Hisham Shaharin memfailkan semula permohonan bagi membatalkan tiga pertuduhan terhadapnya berkaitan perhimpunan Bersih 3.0.
Badrul Hisham atau ‘Chegubard’, 34, menamakan pendakwa raya sebagai responden dalam permohonan yang difailkan melalui Tetuan SN Nair & Partners di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Pada 13 Sept lepas, dia menarik balik permohonan sama yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Sesyen di sini ketika kesnya disebut di depan Hakim Mahmud Abdullah.
Peguam SN Nair, ketika ditemui pemberita, berkata pihaknya menarik balik permohonan itu kerana Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkaitan Perlembagaan Persekutuan.
Badrul Hisham didakwa bersama penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden parti itu Mohamed Azmin Ali pada 2 Julai dan 22 Mei berkaitan perhimpunan Bersih 3.0.
Pada 2 Julai, dia mengaku tidak bersalah bersubahat dengan R. Tangam, G. Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim melanggar perintah Majistret Zaki Ashraf Zubir bertarikh 26 April, yang melarang sebarang perhimpunan di kawasan Dataran Merdeka antara 28 April dan 1 Mei lepas.
Pada 22 Mei, Badrul Hisham mengaku tidak bersalah menyertai protes jalanan yang melanggar perintah majistret berkenaan, antara 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April di Jalan Tun Perak di sini.
Dia juga mengaku tidak bersalah bersekongkol dengan Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan dengan menghasut mereka supaya mengalihkan besi penghalang di Jalan Raja di sini pada hari yang sama.
Badrul Hisham didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Dalam permohonan itu, Badrul Hisham mendakwa perintah Zaki Ashraf tidak sah kerana dikeluarkan di luar bidang kuasa dan/atau ultra vires dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang berkuat kuasa pada 30 Jan, yang membenarkan perhimpunan secara aman diadakan.
Katanya, pihak berkuasa yang sepatutnya melarang orang ramai mengadakan perhimpunan secara aman ialah polis, dan bukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, seperti yang disebut dalam perintah itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.