Ada
papan tanda, tetapi kampungnya tidak wujud, malah penduduk juga tidak
kelihatan.Begitulah kepelikan yang menerpa setiap orang yang melalui
Jalan Kluang-Kota Tinggi di Johor di sini yang tertanya-tanya dengan
kewujudan sebuah papan tanda bertulis Kampung Muafakat, berhampiran
ladang Felda Bukit Tongkat.
Ini kerana jika mereka masuk ke kawasan itu,
lebih kurang empat kilometer daripada papan tanda berkenaan, tidak ada
sebuah rumah pun dijumpai.
Sebaliknya kawasan yang dikatakan perkampungan ini hanya dipenuhi tanaman kelapa sawit dan kebun sayur-sayuran.
Menurut
Pentadbir Tanah Daerah Kluang, Abdul Malik Ismail, hasil tinjauan dan
pemeriksaan pihaknya di kawasan tersebut mendapati kampung yang
dimaksudkan memang tidak wujud.
“Kawasan ini diterokai secara haram oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Papan
tanda Kampung Muafakat ini hanya diwujudkan bagi melindungi kegiatan
pencerobohan haram di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdul
Malik berkata, kampung itu dipercayai diwujudkan oleh seorang ketua
peneroka haram di dalam kawasan tanah Hutan Simpan Kluang.
254.9 hektar kawasan ‘kampung’ diteroka secara haram
Menurutnya,
Kampung Muafakat tidak pernah diketahui kewujudannya, malah ia tidak
pernah mendapat kelulusan daripada Pejabat Tanah Daerah Kluang.
“Jika tiada aduan diterima daripada penduduk di kawasan Felda Bukit Tongkat, memang kami tidak menyedari akan perkara ini.
“Hasil
lawatan dan pemeriksaan di kawasan yang telah dicerobohi itu kami
mendapati, peneroka haram ini telah mula menanam kelapa sawit,
sayur-sayuran serta turut mendirikan bangunan sarang burung walit,”
katanya.
Abdul Malik berkata, hasil pemeriksaan pihaknya juga mendapati seluas 254.9 hektar kawasan tersebut telah diteroka secara haram.
Abdul Malik berkata, hasil pemeriksaan pihaknya juga mendapati seluas 254.9 hektar kawasan tersebut telah diteroka secara haram.
“Memang
tiada sebarang penempatan di sini. Penduduk tempatan juga tidak ada
melainkan pendatang asing yang dipercayai bekerja sebagai kuli di
kawasan kebun sayur tersebut.
“Selepas
pihak kami membuat tinjauan, semakan terus dilakukan oleh Pejabat Tanah
Kluang dan hasilnya kami mendapati status tanah kampung tersebut tidak
pernah mendapat kelulusan malah tiada permohonan dilakukan sehingga
sekarang.
“Jabatan
Perhutanan daerah Kluang pula mengesahkan tanah yang diceroboh itu
telah dibebaskan pada 1976 namun ia masih belum diwartakan sehingga
sekarang dan ia masih berada di dalam penjagaan dan bidang kuasa
mereka.
“Ia sekali gus membuktikan Kampung Muafakat tidak pernah wujud,” katanya.
Usaha jejaki ‘ketua kampung’, pemaju
Dalam pada
itu, menurut Abdul Malik, pihaknya kini sedang berusaha menjejak
‘ketua’ dan ‘pemaju’ kampung tersebut yang nama mereka tertera di atas
papan tanda berkenaan.
Selain
itu, tegasnya, Kampung Muafakat kini berstatus tanah yang diceroboh
kerana semua kerja tanaman yang dilakukan di kawasan tersebut tidak
mendapat kelulusan daripada mana-mana jabatan sama ada Pejabat Tanah
ataupun Pejabat Perhutanan Daerah Kluang.
“Berikutan
daripada apa yang berlaku, pihak kami akan mengadakan tindakan
bersepadu dengan pihak polis, Rela, Jabatan Perhutanan dan Jabatan
Imigresen dalam masa yang terdekat ini.
“Ia harus dijalankan bagi menyekat aktiviti pencerobohan haram ini yang dianggarkan aktif lebih sepuluh tahun,” katanya.
Menurutnya,
siasatan lanjut juga akan diadakan untuk mengetahui dalang sebenar
yang memberi kebenaran kepada individu terbabit untuk menceroboh tanah
hutan simpan itu sehingga menjadi ladang sayur dan kelapa sawit.
Pagar gajah juga rosak
Sementara
itu, Ketua Peneroka Felda Bukit Tongkat, Md Yasa Awi Ba berkata,
‘kampung’ yang dikenali sebagai Kampung Muafakat itu sudah lama wujud,
malah hampir sepuluh tahun.
“Pada
waktu itu, mereka yang menceroboh kawasan tersebut tidak melakukan
sebarang kerosakan di kawasan ladang Bukit Tongkat. Jadi tiada aduan
dibuat.
“Bagaimanapun,
sejak kebelakangan ini, mereka yang tidak bertanggungjawab telah
melakukan kerosakan ke atas pagar gajah serta parit gajah yang menjadi
sempadan antara kawasan ladang dan tanah hutan simpan Kluang yang
diceroboh itu. Disebabkan itu ramai pemilik ladang mula bengang dan
buat aduan kepada pihak berwajib,” katanya ketika dihubungi Sinar
Harian, semalam.
Md Yasa
berkata, apabila pagar gajah sudah dirosakkan, maka pemilik ladang
mengalami kerugian kerana gajah liar memasuki kawasan ladang dan
memusnahkan tanaman.
Pengurus
Felda Bukit Tongkat, Zainal Abidin Jilani berkata, laporan mengenai
wujudnya Kampung Muafakat sudah lama diketahui malah terdapat juga
individu dilihat keluar masuk ke dalam ladang berkenaan.
Beliau
berkata, pada masa ini kawasan tersebut sudah menjadi ladang
sayur-sayuran dan kelihatan seolah-olah sudah menjadi hak milik mereka.
“Pihak
Felda setakat ini tidak pernah mengambil sebarang tindakan ke atas
mereka namun, disebabkan mereka telah merosakkan pagar gajah, pihak
kami perlu lakukan sesuatu.
“Bagaimanapun,
saya harap masalah tersebut dapat diatasi segera. Jika tidak peneroka
Felda akan mengalami kerugian dengan menanggung kos membaiki pagar
serta parit gajah,” katanya.Sumber: Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.