Khamis, 27 September 2012

Pro-M: Aspirasi masih gagal di Lembah Klang

RAZIATUL HANUM A. RAJAK

Pilihan Raya Kampus.
Pilihan Raya Kampus. 
 
SHAH ALAM - Kumpulan Pro-Mahasiswa masih beranggapan bahawa Pro-Aspirasi tidak dapat memecahkan penguasaan pihaknya di universiti-universiti di Lembah Klang walaupun dipercayai telah menang sehingga 14 pusat pengajian tinggi dalam pilihan raya kampus.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang berkata, Pro-Mahasiswa menguasai ketiga universiti terbabit meskipun keputusan rasmi di UM masih belum diumumkan sehingga petang ini.

"Jika kita lihat Pro-Aspirasi menguasai sebahagian besar daripada 20 IPTA di negara kita tetapi kenapa mereka gagal menguasai tiga universiti ini sedangkan IPTA di Lembah Klang inilah yang aktif dalam berpolitik," kata beliau dengan merujuk kepada Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Selain tiga universiti itu, katanya, Pro-Mahasiswa hanya memberi tumpuan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).

UPM dan Upsi dimenang oleh Pro-Aspirasi.

Pro-Mahasiswa menang di UM dan UKM. Keputusan pilihan raya UIAM ditangguhkan ekoran masalah sistem e-undi dan

"Sehingga kini, saya masih tidak berkeyakinan Pro-Aspirasi mampu membawa perubahan kepada mahasiswa," katanya kepada Sinar Harian Online, ketika dihubungi hari ini.

Safwan berkata, kemenangan milik siapa itu tidak penting kerana ketelusan dalam meraih kemenangan lebih penting.

Menurutnya, sistem e-undi yang diguna pakai oleh sebahagian IPTA diragui ketelusannya berikutan keputusan di UM dan UIAM, semalam.

"UIAM terpaksa melakukan pilihan raya semula gara-gara wujud masalah dalam sistem undi sedangkan sistem itu sudah digunakan bertahun lamanya.

"Di UM pula berlaku keputusan seri pada dua calon fakulti di mana seorang calon sudah menang tetapi seorang lagi tidak boleh diumumkan menang kerana mendapat undian yang sama," katanya.

Katanya, "sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana akan ada kiraan semula, jadi kita tidak tahu bagaimana ia boleh terjadi."

Sehubungan itu, beliau menggesa agar sistem lama iaitu undi secara manual seperti yang digunakan di Universiti Sains Malaysia (USM) dan UKM diguna kembali oleh semua IPTA.

Safwan berkata, pihaknya percaya wujudnya campur tangan luar dalam pilihan raya ini, oleh itu perkara yang berlaku di Upsi dan UKM akan dibawa ke mahkamah.

"Di Upsi, enam calon Pro-Mahasiswa dibatalkan kerana tidak mengisi ruang manifesto, sedangkan buku panduan pilihan raya mengatakan isi ruangan manifesto jika ada dan apabila bantahan dibuat, ia tidak diterima.

"Begitu juga di UM, lima calon Pro-Aspirasi berada pada tahun akhir disahkan layak bertanding dan empat daripadanya menang dalam pilihan raya, jadi kami akan bawa perkara ini ke mahkamah atas penyalahgunaan kuasa," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.