Rabu, 26 September 2012

Pojok – Anak Mami Di Perantauan : Ingat daku dalam doamu?

Roketkini.com

Foto Ihsan Milosuamblogspot.com

Parti politik bukan agama, dan pemimpin parti bukan dewa-dewi. Presidennya pula bukan tuhan. Ini kefahaman kita semua yang berakal waras. Di Malaysia khususnya yang majoriti umatnya beragama Islam, sebarang usaha untuk ‘memberhalakan’ parti politik dan pemimpin politik pastilah akan menerima label ‘sesat’ dan ‘kafir’ dalam sekelip mata.

Dalam Islam pula, penganutnya bersembahyang hanya mengadap kiblat atau arah kiblat. Tuhan tidak punya bentuk atau rupa yang boleh dimanifestasi mengikut kecetekan akal manusia. Jadi ritual sembahyang adalah sekadar berdiri dan tunduk sujud pada keagungan Tuhan. Tidak perlu sebarang gambar atau simbol.

Dan selalunya sembahyang itu dilakukan dengan menggunakan sejadah; sehelai kain alas yang selalunya mempunyai rekaan bermotifkan bentuk-bentuk geometri mudah, supaya tidak ada gangguan visual ketika sedang beribadah. Paling-paling galak pun mungkin diletaknya gambar Kaabah.

Jadi apabila blog MiloSuam mendedahkan bahawa Ketua United Malays National Organisation Bahagian Lembah Pantai telah meletakkan label bertulis; “Sumbangan Ikhlas: Dato’ Raja Nong Chik Bin Dato’ Raja Zainal Abidin” dengan logo 1Malaysia, logo UMNO dan logo Barisan Nasional, di sejadah pemberiannya, kita jadi sangsi.

Sangsi sangat, malah mungkin keliru dengan kapasiti intelek pekerja-pekerja Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai ini.

Apa bodoh sangatkah pekerja-pekerja yang diberi makan oleh Menteri Wilayah ini sehingga terlalu dangkal untuk memikirkan bahawa pelekat tersebut akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan jemaah surau yang menggunakan sejadah tersebut.

Selalunya kalau mahu diletak label di sejadah, di jahit bahagian tepi sebelah bawah di tempat letak kaki. Bukan diletak gah di penjuru kanan atas tempat sujud. Ini kerja tidak guna otak. Ini memang kerja mahu bagi orang gelak.

Ini kerja kepingin mahu sanjungan dan ingatan orang. Mahu orang ulang sebut, “Alahai baiknya Nong Chik tu ya. Pemurah dia sedekahkan kita sejadah.”

Kenapa tak letak saja logo UMNO dan logo 1Malaysia itu di tempat sujud? Betul-betul di tempat letak dahi. Bukankah lebih sampai maksudnya? Bukankah lebih jelas objektifnya kalau dibuat begitu?

Ini membawa kita kepada soalan seterusnya: apa tujuan buat begitu, selain supaya orang ‘mengingati Nong Chik dalam doa’?

 

Umat Melayu sudah cukup dibodohkan UMNO untuk saban tahun. Disangkanya UMNO itulah punca hidupnya senang dan tidak melarat. Dicium tangan pemimpinnya kerana mengenangkan jasa yang bertimbun kononnya, tanpa sedar berapa koyan harta negara telah dirompak untuk mengisi tembolok anak beranak. Untuk mengubati kebodohan itu sahaja, ramai telah memilih untuk terjun ke jalan perjuangan untuk mengeluarkan umat dari gelap pembodohan.

Namun pastilah umat tidak akan berdiam diri apabila harus terpaksa sujud pada logo United Malas National Organisation. Adakah ini yang UMNO mahukan? – Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.