Ahad, 2 September 2012

Pegawai Yang Abai Cemari Hubungan Antara Sultan dan Kerajaan Negeri




SHAH ALAM : Setiausaha sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani sewajarnya memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sekiranya Baginda berkenan untuk mencemar duli dan menghadiri sambutan Hari Merdeka peringkat Selangor Khamis lalu.

Setiausaha politik Menteri Besar Selangor Faekah Hussin menjelaskan ini kerana DYMM Sultan Selangor tidak pernah dijemput untuk malam ambang kemerdekaan sebelum ini.

Faekah berkata menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamad Khusrin Munawi, Baginda akan hadir pada program rasmi pada sebelah pagi 31 Ogos iaitu Majlis Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negeri.

“Seperti yang dijelaskan sebelum ini, program sambutan pada malam kemerdekaan pada tahun-tahun sebelum ini tidak pernah melibatkan kehadiran DYMM Sultan Selangor.

“Saya berpendapat kekeliruan timbul apabila Datuk Munir tidak memberikan maklumat yang sewajarnya kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Menteri Besar amat kecewa apabila ada pegawai yang gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik sehingga mewujudkan suasana tegang serta menggugat hubungan baik beliau dengan DYMM Sultan Selangor,” Faekah berkata di dalam satu kenyataan hari ini.

Faekah mengulas persoalan yang ditimbulkan beberapa pihak mengapa Sultan Selangor DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak menghadiri sambutan ambang kemerdekaan baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan pada Khamis lalu, Mohamad Munir antaranya berkata Kerajaan Negeri perlu memaklumkan kepada Sultan Selangor selaku ketua negeri sebarang program atau majlis rasmi seperti kebiasaannya.

Mohamad Munir berkata Sultan Selangor tidak dimaklumkan untuk mencemar duli ke sambutan kemerdekaan tersebut.

“Saya kesal tindakan sesetengah pihak yang cuba mencemar kehangatan semangat Kemerdekaan dengan isu-isu yang sengaja diperbesarkan,” Faekah berkata.

Tambah beliau, seorang pun ADUN Umno-BN tidak hadir ke majlis itu walaupun dijemput.

“Ini membuktikan mereka ini tidak mempunyai semangat kemerdekaan mengamalkan politik jumud dan sempit. Bagi menutup kelemahan sendiri maka mereka memperbesar-besarkan isu yang tiada.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.