Ahad, 30 September 2012

Himpunan Pengerang Lestari bela penduduk tertindas

Abdul Aziz Mustafa,


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyeru semua pihak yang prihatin kepada rakyat tertindas agar berhimpun beramai-ramai dalam Himpunan Hijau Kekalkan Pengerang Lestari di Dataran Sungai Rengit, Pengerang esok.

"Himpunan demi kesejahteraan alam sekitar dan lebih dari itu demi membela nasib penduduk yang tertindas akibat pengambilan tanah untuk Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) itu akan bermula pukul 10.00 pagi.

"Saya sendiri akan berada di sana bersama-sama para pemimpin Pakatan Rakyat (PR) serta NGO lain yang sama-sama prihatin," katanya.

Menurut Salahuddin, tiga tuntutan utama Himpunan Hijau Kekalkan Pengerang Lestari itu ialah, pertama, menentang pengambilan 22,500 ekar dari penduduk Pengerang sedangkan projek Rapid hanya memerlukan 6,424 ekar tanah sahaja.

"Kedua, membela nasib kira-kira seribu nelayan dan petani yang diancam sumber mata pencarian mereka sedangkan pampasan yang diberi tidak mungkin dapat menyara kos kehidupan mereka dalam jangka panjang," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Ketiga, katanya lagi, mempertegaskan bantahan dan keprihatinan terhadap kesan projek berkenaan ke atas alam sekitar.

Salahuddin menyeru semua pihak yang hadir agar membawa bendera Malaysia atau Johor dan mematuhi arahan mengenai meletak kenderaan dan memberi kerjasama kepada mereka yang bertugas di tempat letak kereta.

"Sila hubungi segera aktivis-aktivis Himpunan Hijau yang anda kenali jika anda disekat dari memasuki kawasan perhimpunan.

"Jika anda ditangkap, serta merta hubungi peguam anda atau Johor Bar Committee Legal Aid, 019-7467333 atau 016-7031967 (Encik Kuna)," katanya.

Salahuddin juga meminta semua yang berhimpun agar membersihkan kawasan perhimpunan selepas perhimpunan tersebut berlangsung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.