Khamis, 27 September 2012

Anwar janjikan lebih banyak wang poket rakyat menjelang PRU semakin hampir


KUALA LUMPUR— Pakatan Rakyat (PR) menjanjikan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna oleh rakyat Malaysia dalam Bajet Alternatif mereka yang diumumkan dua hari sebelum Barisan Nasional (BN) membentangkan Bajet 2013.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata, pendapatan boleh guna akan meningkat melalui penurunan harga kereta, pemansuhan tol, dan pemansuhan pinjaman pelajaran, melalui bajet yang dibentangkan beliau hari ini.

Anwar turut berkata, kerajaan PR akan berupaya untuk menampung cadangan mereka itu tanpa meningkatkan kadar cukai, sebaliknya hanya mengawal ketirisan yang meningkat sebagai akibat daripada gejala rasuah dan ketidakcekapan.

“Kami akan memastikan polisi kerajaan PR lebih telus untuk mengelakkan sebarang ketirisan dan pembaziran kerana gejala rasuah,” katanya sewaktu pembentangan Bajet Alternatif 2012 di sini.

“Kami juga akan memastikan proses pemberian kontrak kerajaan akan lebih telus melalui tender terbuka,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Permatang Pauh ini juga menegaskan PR akan membentangkan situasi ekonomi Malaysia yang lebih “realistik” tahun hadapan, dengan saiz ekonomi Malaysia RM1,064 bilion dengan perkembangan ekonomi pada 5.2 peratus, kadar inflasi tiga peratus dan bajet defisit pada kadar 3.5 peratus.

“BN tidak pernah memenuhi ramalan ekonomi mereka. Mereka tidak jujur tentang angka,” katanya
“PR akan lebih jujur tentang angka dan akan menunjukkan cadangan ekonomi yang lebih realistik,” tambahnya.

Dalam Bajet Alternatif yang diumumkan hari ini, Anwar juga turut mengumumkan akan memastikan Khazanah Nasional Berhad membayar RM2 bilion kepada kerajaannya sekiranya mereka memerintah kerana syarikat milik kerajaan itu tidak membayar sebarang dividen sejak ditubuhkan.

“1MDB akan dihapuskan supaya tidak bertindih dengan fungsi Khazanah. Khazanah juga akan mula membayar RM2 bilion kepada kerajaan mulai tahun depan sekiranya kami memerintah,” kata Penasihat Ekonomi Selangor itu lagi.

Perdana Menteri (PM) juga dijangka akan membentangkan bajet kerajaan Jumaat ini berkemungkinan  menarik undi dan meletakkan harapan untuk memenangi pilihan raya walaupun kadar hutang negara yang semakin meningkat.

Pakar ekonomi berkata Najib akan melengahkan pembaharuan untuk meluaskan dasar cukai Malaysia dan mengurangkan kebergantungan terhadap simpanan minyak untuk sekurang-kurangnya setahun, dan mengumumkan langkah untuk membantu rakyat berpendapatan rendah yang bertarung dengan kenaikan harga barang.

Anwar dan Najib dilihat menggunakan pendekatan populis untuk menarik undi dalam pilihan raya yang dijangka paling sengit dalam sejarah tanah air, dan kedua-duanya dilihat cuba untuk mengelakkan daripada menjanjikan langkah perubahan drastik.

Najib perlu melaksanakan pilihan raya umum (PRU) ke-13 hingga April tahun depan namun telah pun mengumumkan beberapa siri pemberian tunai, termasuk RM2.6 bilion tunai kepada keluarga berpendapatan rendah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.