Isnin, 3 September 2012

Adik Ibrahim Ali Disaman RM1juta Kerana Memfitnah AKSB

 
KELAB GREENBOC

 Kota Bharu: Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Che Ali (gambar) kini berdepan tuntutan saman berjumlah RM1 juta ekoran mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Kenyataan itu disiarkan The New Straits Times (NST) pada 29 Mei bertajuk “Kelantan Misused RM600m in Loans” dianggap tidak benar, memfitnah kerana menuduh plaintif menyalahguna sebahagian dana RM600 juta membiayai perjalanan di luar negara oleh pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Azmi dalam kenyataan itu mendakwa mereka yang turut serta dalam perjalanan tersebut termasuk anggota Exco dan beberapa pegawai kerajaan negeri serta wakil AKSB.

AKSB dalam tuntutannya menyebut Azmi bersama empat lagi defendan bertanggungjawab menyebabkan tersiarnya artikel tersebut, di mana secara jelas menyebut berita tidak benar dan tidak berasas dikaitkan dengan plaintif.

Turut dinamakan sebagai defendan iaitu MTRK; Pengarang Urusan Kumpulan NST, Abdul Jalil Hamid; Penyunting Kumpulan NST, Syed Nadzri Syed Harun dan New Straits Times (M) Bhd.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, kes terbabit ditetapkan untuk pengurusan kes sebelum bicara pada 19 September ini. Defendan belum lagi melantik peguam.

Hisham berkata, tulisan yang disiarkan akhbar tersebut secara jelas bermaksud bahawa plaintif terlibat dengan korupsi sehingga gagal dalam tanggungjawab menggunakan wang pinjaman tersebut.

Sebelum ini plaintif melalui peguamcara mengemukakan notis tuntutan kepada defendan-defendan menuntut supaya menarik balik artikel tersebut, memohon maaf secara terbuka kepada plaintif dan membayar gantirugi.

Namun defendan-defendan enggan berbuat demikian dan tidak mahu memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi.

Selain itu plaintif juga menuntut defendan menyiarkan permohonan maaf tersebut sebagai berita utama di muka surat hadapan dalam NST, mengiklan permohonan maaf tersebut dalam akhbar Utusan Malaysia atau Berita Harian.

AKSB juga menuntut ganti rugi teladan, ganti rugi melampau, ganti rugi punitif. -HD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.