Rabu, 1 Ogos 2012

Tarik balik lesen disewa kepada warga asing wajar

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menarik balik lesen perniagaan rakyat tempatan yang menyewakannya kepada warga asing.
“Langkah ini dilihat sangat bertepatan kerana Malaysia kini mengalami situasi lambakan warga asing,” kata Ketua Penerangannya, Yusapiza Yaacob (gambar).

Ini juga, katanya dilihat dapat memberikan suatu pengajaran yang berguna kepada mana-mana pihak yang menyalahgunakan lesen perniagaan yang diberikan.

“Sikap suka mengambil 'untung atas angin' seharusnya perlu dikikis dari minda rakyat Malaysia. Semakin hari semakin ramai warga asing yang telah membuka perniagaan mereka sendiri tanpa diketahui dari manakah lesen diperolehi,” katanya.

Akhirnya, kata beliau mereka ini dilihat seolah-olah mendominasi perniagaan runcit yang sepatutnya dmiliki oleh rakyat tempatan.

DPPWP juga, ujar beliau ingin menyeru PBT dan juga Suruhanjaya Pencegarahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat rakyat-rakyat tempatan yang memberikan lesen perniagaan ini.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata ini kerana mereka terdedah dengan gejala rasuah dalam menawarkan lesen perniagaan mereka.

Tambahnya, terdapat ramai rakyat Malaysia yang kesempitan hidup yang ingin berniaga namun ada juga yang lebih rela melihat rakyat Malaysia sengsara dengan memberikan lesen kepada warga asing.

Selain lesen perniagaan, ujarnya SPRM juga diseru untuk menyiasat penyelewengan petak-petak bazar Ramadhan yang dilihat mengaut keuntungan yang melampau.

Menurutnya, petak-petak bazar yang dibeli daripada PBT dengan harga yang murah namun dijual kepada peniaga dengan harga yang melampaui batas.

Yusapiza berkata, ini dapat menjejaskan periuk nasi peniaga-peniaga yang ikhlas ingin berniaga.

Malah, katanya ada tempat yang mengenakan sewa sehingga RM3,000 sehari di bulan Ramadhan sedangkan bayaran kepada PBT hanyalah RM200 setahun

“Justeru, DPPWP mengharapkan agar PBT dan SPRM lebih peka dalam menangani isu-isu penjualan lesen dan tapak perniagaan ini.

“DPPWP percaya ianya akan lebih segera dapat dibendung sekiranya tiadanya penglibatan 'orang dalam',” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.