Selasa, 28 Ogos 2012

Selesaikan segera isu kutipan sampah di Perlis

Bashir Ishak,
KANGAR: PAS Perlis meminta Kerajaan Negeri Perlis menyelesaikan segera masalah pungutan sampah di negeri ekoran kemelut yang melanda antara Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan syarikat konsesi pembersihan Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman).

Kemelut melanda apabila MPK pada 23 Ogos lalu mengumumkan untuk menamatkan perkhidmatan E-Idaman yang didakwa gagal memenuhi tahap pencapaian dan melanggar perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini.

Bagaimanapun E-Idaman meneruskan kerja kutipan sampah pada 24 Ogos walaupun lori-lori sampah mereka dihalang untuk memasuki tempat pelupusan sampah di Padang Siding, Arau.

Pengurusan syarikat itu memutuskan untuk meneruskan perkhidmatan mereka berikutan  pembuangan sampah dan sisa pepejal yang meningkat secara mendadak pada musim perayaan.

Sementara itu, MPK memaklumkan bahawa buat sementara waktu ini, kerja-kerja pengutipan sampah akan diserahkan kepada sebuah syarikat swasta yang mempunyai pengalaman dalam kerja-kerja pembersihan.

Mengulas isu ini, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Rus'sele Eizan (gambar atas) berkata tindakan MPK itu tidak wajar kerana mereka belum melantik sebuah syarikat yang akan menggantikan E-Idaman.

Menurutnya, maklumat yang beliau perolehi, syarikat yang akan mengutip sampah buat sementara waktu ini adalah sebuah syarikat sub-kontraktor yang bekerja dengan E-Idaman juga.

"Hari tu saya hairan kenapa MPK buat keputusan tidak membenarkan lori sampah E-Idaman buang samaph di Padang Siding? Kalau tak pergi buang di situ ke mana mereka nak buang sampah tu?

"Dengan melantik kontaktor semnetara ini, saya ingat jangan sampai jadi macam orang-orang dulu sebut 'ibarat buang kentut ambil tahi'. Pergi ambil yang baru nak bagi busuk lagi keadaan," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Empat.

Tegasnya lagi, PAS Perlis memandang serius isu ini kerana melibatkan kepentingan rakyat Perlis serta kesihatan mereka.

"Kenapa ditamatkan kontralk E-Idaman secara mengejut. Jangan sampai nak jaga kepentingan syarikat tertentu sampai kita menyusahkan rakyat.

"Kita harap agar isu ini diselesaikan segera secara dan baik. Jangan biar rakyat yang menjadi mangsanya nanti,"ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.