Jawatankuasa Tema Hari Kemerdekaan yang dilantik PR telah membuat pengubahsuaian daripada 250 slogan yang diterima sejak minggu lalu selari dengan keadaan rakyat di Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Ketua jawatankuasa itu, Datuk A. Samad Said berkata, tema yang dikirim oleh Al Haimi Adam 'Senegara Sebangsa Sehati Sejiwa' telah diubah supaya tidak menyentuh isu sensitif, siasah, perkauman dan diperhalusi sebanyak mungkin.
Menurutnya, tema tersebut dilihat lebih neutral dan memberi gambaran kebersamaan rakyat dan negara tanpa ada sebarang agenda politik.
"Kita berbincang hampir dua jam untuk pilih, ada banyak tema yang dihantar adalah sama menggambarkan rakyat bersama, sejahtera dan lain-lain.
"Akhirnya kami putuskan untuk pilih satu slogan dan turut diubah untuk kesesuaian," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini, PR telah mendesak kerajaan pusat supaya menukar tema Hari Kemerdekaan 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati yang tidak mencerminkan rakyat dan negara serta lebih kepada mewakili Barisan Nasional.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, tema hari kebangsaan memang menjadi hak kerajaan untuk memilihnya namun biarlah ianya memberi gambaran untuk keseluruhan rakyat dan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.