Isnin, 27 Ogos 2012

Sanggupkah lihat Anwar bersara?

Shahbudin Husin
 
 
 Sudah dua kali Anwar Ibrahim mengulangi hasratnya untuk bersara selepas pilihanraya umum ke 13 ini sekiranya PR gagal menawan Putrajaya. Tetapi hasrat untuk bersara itu hukan kerana kecewa, sebaliknya untuk memberi ruang kepada pemimpin muda pula mengambil alih peranan meneruskan perubahan yang telah dicetuskannya sejak 1998 lagi.

Anwar menegaskan bahawa beliau akan kembali ke dunia akademik selepas itu. Sebelum menyertai UMNO, Anwar pernah menubuhkan Yayasan Anda dan selepas dibebaskan dari penjara, beliau menjadi pensyarah di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat.

Jika PR gagal dalam PRU 13 ini, Anwar akan menyerahkan kepada generasi pelapis mengambil alih peranannya dan beliau ingin kembali menjadi pensyarah semula. Selain faktor usia, hasratnya menyerahkan baton kepada pemimpin muda adalah sesuatu yang harus dipuji. 

Soalnya adakah kita rakyat Malaysia sanggup melihat Anwar bersara dan membiarkan Najib Rosmah terus kekal sebagai Perdana Menteri? 

Sejak berbalah dengan Mahathir dan kemudian dipecat daripada UMNO dan kerajaan pada 1998 serta diaibkan dengan pelbagai tuduhan, hakikatnya Anwar telah berjaya mencetuskan gelombang kesedaran dan perubahan di kalangan rakyat. Sejak pemecatannya, pelbagai kesedaran baru muncul dalam politik rakyat di negara ini dan ia dikaitkan pula dengan kesedaran dalam sistem ekonomi, sosial dan sebagainya. 

Jika tidak kerana Anwar dipecat, kesedaran rakyat mungkin tidak berlaku seperti sekarang. Sebagaimana besarnya perubahan yang dicetuskannya Anwar, sengsara yang diterimanya juga bukan kepalang. 

Mahathir yang memecatnya sehingga ini masih tidak dapat tidur lena kerana perubahan yang dicetuskan sejak 1998 itu mungkin pula memusnahkan legasi dan kemewahan anak-anaknya yang dibina sejak 22 tahun dahulu.

Oleh kerana Anwar yang telah mencetuskan perubahan dan menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat, beliau tidak seharusnya dibiarkan bersara begitu sahaja. Anwar harus diberi peluang menjejakkan kaki menghuni Putrajaya supaya agenda perubahan dan reformasi yang dimulakannya itu dapat diatur perjalanannya dengan sempurna pula.

Anwar juga seharusnya diberi peluang mengotakan segala kata-kata dan janjinya selama ini. Hanya dengan menjadi PM kemampuan sebenar Anwar akan teruji. 

Lebih dari itu, dengan memberi peluang PR memenangi pilihanraya akan datang dan menjadikan Anwar sebagai PM juga akan menjadikan sistem politik kita menjadi lebih matang. Ia akan memberi ruang kepada permulaan sistem dua parti yang sudah diamalkan di kebanyakan negara sekarang ini. 

Hanya dengan kemenangan PR saja sistem dua parti ini dapat dimulakan, sebaliknya jika BN terus berkuasa selepas PRU 13 ini, ia akan terus berkuasa selama-lamanya. PRU 13 adalah peluang terbaik untuk rakyat membuat perubahan dan memulakan suatu sistem yang terbukti menguntungkan rakyat seluruhnya. 

Melalui sistem dua parti, sekiranya selepas PR memerintah dan mereka gagal menunaikan janji-janji serta tidak berupaya menjaga rakyat dengan lebih baik, dalam pilihanraya seterusnya kuasa boleh dikembalikan semula kepada BN. Tetapi jika PR terbukti lebih bagus, mereka wajar dikekalkan. 

Proses yang berterusan sebegitu akan menjadikan PR dan BN berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik di hati sanubari rakyat. Akhirnya semua parti dan pemimpin akan mengutamakan rakyat dan tidak lagi menjadikan kuasa yang dimiliki sebagai tiket untuk mengaut kekayaan peribadi serta keluarga sepertimana yang berlaku dalam BN sekarang ini.

Sejak BN memerintah lebih 50 tahun lalu, oleh kerana tiada penggiliran kuasa atau sistem dua parti, mereka yang menjadi pemimpin lebih sibuk mengaut kekayaan peribadi berbanding menjaga rakyat. Rakyat masih ramai yang miskin dan tiada bekalan api serta air yang sempurna walaupun setelah 55 tahun merdeka.

Kepimpinan hari ini lebih teruk jadinya. Najib bukan saja terus gagal membela rakyat, malah seperti berkongsi jawatan Perdana Menteri dengan isterinya, Rosmah Mansor. Isterinya sama sibuk dengan pelbagai agenda dan telah memecah tradisi dengan turut sama memberi perutusan sempena Hari Raya di televisyen, sedangkan sewajarnya hanya PM yang berbuat demikian. 

Bayangkan apa akan berlaku jika BN terus berkuasa dan Najib pula kekal lagi sebagai PM. Jawabnya tiada akan ada apa-apa perubahan. Golongan kaya akan bertambah kaya manakala rakyat miskin akan terus miskin. Taburan janji-janji hanya akan muncul lima tahun sekali. Cerita skandal, penyelewengan, rasuah dan sebagainya mungkin berganda-ganda jadinya. 

Memberikan kemenangan kepada PR dalam pilihanraya akan datang ini bukan semata-mata untuk menjadikan Anwar sebagai PM. Ia harus dilihat dalam konteks yang lebih luas daripada itu.

 Melalui perubahan yang bermula sejak 1998 dan jika berjaya diteruskan lagi dalam pilihanraya ini, percayalah rahmatnya lebih luas dan dapat dinikmati secara saksama oleh rakyat jelata. Hak rakyat juga akan lebih terpelihara dan boleh menentukan sesebuah kerajaan itu sentiasa menjalankan perkhidmatan terbaiknya. 

Jika kita sayang negara ini dan mahu diri kita sentiasa dihargai, teruskanlah perubahan dalam PRU 13 dan jangan biarkan Anwar bersara begitu saja. Dan lebih penting jangan biarkan Najib Rosmah terus kekal sebagai Perdana Menteri lagi.

Penulis pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah menghasilkan dua buah buku politik bertajuk Najib PM Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan Najib.Beliau memiliki laman blog di shahbudindotcom.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.