Khamis, 30 Ogos 2012

SAMM Alu-Alukan Saranan Datuk Bandar Kuala Lumpur Tidak Tutup Dataran Merdeka




SHAH ALAM: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengalu-alukan saranan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib agar Dataran Merdeka tidak ditutup bagi memberikan laluan kepada sambuatan ambang kemerdekaan malam ini.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, SAMM turut berharap agar Ahmad Phesal mempertahankan pendirian beliau dari tekanan pemimpin Umno-BN yang dianggap berfikiran sempit dan takut kepada perubahan.

Dalam kenyataan media sama, SAMM mempertahankan pendirian hak rakyat negara ini untuk menyambut kemerdekaan tanpa mengira apa warna pakaian yang dipakai untuk tujuan tersebut.

“Merujuk kepada kenyataan Ketua Balai Polis Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad yang tidak memberikan ‘lampu hijau’, SAMM juga menegaskan bahawa tiada keperluan ‘lampu hijau’ dari mana-mana pihak untuk mana-mana rakyat yang ingin menyambut hari kemerdekaan.

“Rakyat punya hak untuk sambut kemerdekaan dengan apa warna sekalipun. Menutup Dataran Merdeka pada malam merdeka adalah satu malapetaka buat regim pemerintah.

“Apakah rasionalnya Dataran Merdeka ditutup bagi menghalang rakyat menyambut ambang kemerdekaan?” menurut kenyataan pertubuhan yang dipimpin oleh Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard itu.

Sebelum ini dalam satu kenyataan, ACP Zainuddin dipetik Bernama berkata, tiada sebarang kebenaran diberikan oleh pihak polis kepada penganjur kerana Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2011 mensyaratkan penganjur memberi notis 10 hari sebelum perhimpunan diadakan kepada polis, namun perkara itu gagal dilakukan oleh penganjur.

Gabungan Janji Bersih bakal mengadakan himpunan semasa ambang merdeka selama dua jam mulai jam 10 hingga 12 malam ini bagi meraikan ulangtahun ke 55 kemerdekaan negara.

Dalam perhimpunan yang tidak mendapat ‘restu’ pihak keselamatan itu, penganjur turut menggalakkan orang ramai agar mengenakan pakaian serba kuning bagi menyatakan tuntutan rakyat negara ini yang ingin melihat negara ini bebas dari cengkaman demokrasi palsu termasuk mengadakan pilihanraya yang bersih dan adil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.