Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim gagal menguruskan sambutan kemerdekaan yang bakal disambut malam ini dan esok kerana mencampur adukkan upacara tahunan itu yang dirai seluruh rakyat dengan program parti.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar berkata, Perhimpunan Janji Ditepati sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil esok malam menunjukkan Umno terdesak meraih keyakinan rakyat.
“Ia bukti betapa Umno perlu sangat meraih keyakinan rakyat, malah kerajaan sendiri tidak yakin dengan transformasi mereka,” katanya ketika dihubungi.
Malah Rais juga dilihat merapu dalam pelbagai kenyataan berhubung sambutan ulang tahun merdeka kali ini.
Rais mengatakan kerajaan akan menyalurkan mesej tentang program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam perbarisan hari kemerdekaan yang akan berlangsung di Dataran Merdeka esok pagi.
Kerajaan Umno juga kononnya akan menonjolkan penerimaan rakyat terhadap kejayaan yang dicapai termasuk pembangunan luar bandar, kempen cegah jenayah dan memerangi rasuah.
“Rais sebenarnya keliru dengan tanggungjawab beliau sebagai Menteri yang menguruskan sambutan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno. Sebab itu beliau tak boleh beza sambutan rakyat seluruh Malaysia dengan program parti,” kata Shamsul sinis.
Ketua Setiausaha Kementerian itu, Kamaruddin Siaraf sebelum ini ‘terlepas cakap’ bahawa orang ramai hanya boleh menonton sambutan kemerdekaan melalui layar di luar stadium kerana tempat duduk dikhaskan untuk orang kenamaan, anggota parti komponen BN, penjawat awam, pelajar sekolah dan kumpulan khas yang terpilih.
“Memang betullah, Umno tak faham erti kemerdekaan, mereka ingat hari kemerdekaan ini mereka yang punya,” kata Shamsul lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.