Rabu, 1 Ogos 2012

Polis berat sebelah gari Rafizi tapi suami Shahrizat dikecuali

Oleh Aisha Geoffrey


SHAH ALAM : Polis berat sebelah menggari Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli sebaliknya, tindakan ini dikecualikan ke atas suami Shahrizat Jalil, yang sebelum ini diheret ke mahkamah kerana menyalahguna peruntukan RM250 juta untuk penternakan lembu fidlot.

“Tindakan itu tidak perlu, ia jelas menunjukkan sikap polis yang berat sebelah bila melibatkan pemimpin Pembangkang,” kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

“Kenapa dulu suami (Datuk Seri) Sharizat Jalil yang juga didakwa tidak pula digari dan ditangkap di rumah awal-awal pagi? Kenapa ada layanan istimewa?,” tegasnya.

Menurut Surendran, tindakan itu sebenarnya untuk memberi tekanan kepada Rafizi supaya berhenti mendedahkan penyelewengan pemimpin Umno.

“Apatah lagi, Rafizi sekarang sedikit demi sedikit mendedahkan skandal LRT (Ampang) yang melibatkan Perdana Menteri, pasti beliau (Najib Razak) juga memainkan peranan dalam konspirasi ke atas Rafizi,” katanya.

“Kita mengutuk tindakan menggari tersebut. Rafizi bukan penjenayah, malah beliau sepatutnya diberi penghormatan kerana berbakti kepada negara dalam menyelamatkan dana rakyat dari terus diseleweng,” tegas Surendran lagi.

Rafizi digari bersama-sama bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad yang turut didakwa kerana dituduh bersubahat mendedahkan dokumen perbankan melibatkan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Rafizi didakwa di bawah Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang membawa hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda RM3 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Tuan Aslam Zainuddin membenarkan ikat jamin dengan RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad tampil sebagai penjamin Rafizi, manakala Johari diwakili abangnya.

Surendran mewakili Rafizi dan Johari selaku peguam.

Perbicaraan kes ditetapkan pada 10 September depan.

Rafizi sebelum ini disiasat mengikut Bafia berikutan keberaniannya mendedahkan butiran penyelewengan perbankan NFC dan ahli pengarahnya, 16 Februari lalu.

NFC dikendalikan suami dan anak kepada Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang menyalah guna peruntukan RM250 juta untuk penternakan lembu fidlot.

Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail didakwa di Mahkamah Sesyen 12 Mac lalu atas dakwaan pecah amanah dan melanggar akta syarikat.

Bagaimanapun, beliau dikecuali daripada tindakan gari oleh polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.