Salmiyah Harun, |
Menurut Pengerusi Gabungan Tanah Johor dan Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat Mazlan Aliman, isu Rapid semakin bercelaru apabila soal pampasan tanah yang diambil kerajaan, perumahan, tanah kubur, alam sekitar dan masa depan penduduk setempat masih terawang-awang.
"Saya kian bimbang dengan perkembangan projek ini terutamanya cara kerajaan menangani protes penduduk. Adalah tidak bijak jika kerajaan hanya tahu menggunakan pendekatan ugut kepada penduduk yang membuat bantahan," katanya di laman Facebooknya.
Dakwanya, dengan memperalatkan polis untuk menghalang perjumpaan penduduk, mengancam tokoh-tokoh NGO dengan taktik kasar bukanlah formula yang betul.
Beliau tidak menafikan, pembangunan sangat penting untuk menjana ekonomi domestik dan masa depan rakyat.
Namun, katanya, rakyat bukan 'tunggul' tetapi mereka adalah tuan tanah yang telah mendiami kampung halaman mereka puluhan tahun.
"Perasaan dan hak mereka mesti diraikan. Pendekatan diplomasi di meja rundingan harus didahulukan. Semakin ramai penduduk Pengerang yang menghubungi saya melaporkan situasi terkini projek dan siri-siri protes yang dilakukan.
"Saya dan pimpinan PAS telah beberapa kali turun padang ke sana meninjau tapak projek dan tanah-tanah yang digazetkan. Sudah hampir setahun dikemukakan pandangan pada kerajaan melalui beberapa memorandum dari berbagai pihak. Nampaknya kenyataan Kerajaan semakin angkuh. Sikap pemimpin BN sama macam isu Lynas," katanya.
Tegasya, tindakan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Harun yang sangat membela pemaju projek terbabit mencurigakan semacam ada kepentingan.
Justeru, katanya setelah berbincang bersama Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat dan Pengerusi Gabungan Ngo Pengerang Cik Anis Azli, akan mencadangkan agar isu ini dijadikan agenda khusus PAS Pusat seperti mana isu Lynas dan Felda Global Ventur Holding (FGVH).
"Gerakan yang tersusun, penyatuan ngo-ngo sedia ada, dialog penduduk, perbincangan dan rundingan dengan Kerajaan, semakan perundangan dan kempen-kempen, lebih aktif akan dijayakan. Kerjasama PAS dan Pakatan Rakyat bersama Ngo dalam menangani isu projek RAPID di Pengerang sangat penting," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.