Khamis, 30 Ogos 2012

KPT Ambil Alih Pengurusan Unisel Bukan Penyelesaian Masalah – Khaled Nordin

MSTAR ONLINE
 
PETALING JAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpendapat bahawa cadangan supaya kementerian mengambil alih pengurusan Universiti Selangor (Unisel) bukan penyelesaian masalah yang melanda universiti itu.

Khaled yang dipetik dalam satu temu bual yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada Khamis sebagai berkata, institut pengajian tinggi swasta (IPTS) diwujudkan berasaskan kepada kemampuan dan keupayaan pihak yang mewujudkannya dan ia diwujudkan oleh kerajaan negeri.

“Saya tidak melihat penyelesaian kepada semua itu adalah Kerajaan Pusat ambil alih. Jika begitu kita membangunkan kesungguhan dan keupayaan mencari penyelesaian masalah dan cabaran akhirnya longgok kepada Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Selangor perlu ada komitmen untuk menentukan Unisel berdaya tahan dan berdaya saing agar terus kekal maju sebagai penyumbang kepada sektor pengajian tinggi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung isu Unisel apabila terdapat sesetengah pihak berpendapat agar Kementerian Pengajian Tinggi dapat mengambil alih pengurusan supaya masalah dapat diselesaikan.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 1,600 pelajar Unisel gagal mendapatkan tempat tinggal di kampus induk universiti di Bestari Jaya, Kuala Selangor bagi sesi pengajian yang bermula 7 ogos lalu berikutan penutupan pejabat operasi Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut.

Dalam temu bual itu, Khaled berkata, kerajaan setakat ini akan membuat keputusan memindahkan pelajar ke IPTS lain jika keadaan memerlukan supaya mereka tidak teraniaya.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Pusat tidak akan mengambil alih sebab sudah cukup dengan 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Sepatutnya isu ini tidak timbul, apatah lagi ia dimiliki oleh kerajaan negeri dan sudah tentu dapat menyediakan kemudahan lebih baik.

“Saya percaya pelajar membuat bayaran mencukupi, jadi saya tidak nampak perkara ini tidak diurus dengan baik oleh kerajaan negeri,” kata Khaled.

Unisel didakwa berhutang hampir RM15 juta dengan JNSB yang melibatkan kos penyelenggaran di kampus induk dan operasi asrama universiti sehingga menyebabkan kegagalan pelajar mendapat tempat tinggal.

Isu masalah penempatan asrama Unisel akhirnya selesai selepas syarikat JNSB bersetuju membuka semula dan melaksanakan operasi pejabat Residen Komuniti Siswa JNSB bermula 23 Ogos.

Bagaimanapun, penyelesaian itu hanya membabitkan isu penempatan pelajar dan bukannya pertikaian dakwaan hutang yang wujud antara JNSB dan universiti milik kerajaan negeri Selangor itu.

Dalam pada itu, Ketua Residen Komuniti Siswa JNSB, Norashikeen Mohd. Stap pada Isnin lalu berkata, kira-kira 1,350 pelajar Unisel di Bestari Jaya, Kuala Selangor masih belum mendaftar masuk ke asrama yang diuruskan oleh JNSB.

“Bagi sesi pendaftaran hari ini (Isnin), hanya 350 pelajar yang hadir membuat pendaftaran dan mengambil kunci bilik masing-masing,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.