Khamis, 30 Ogos 2012

Khalwat, Zina Telah Turun Selepas Selangor Adakan Kempen anti-zina




SHAH ALAM : Sejak tiga tahun lalu, statistik penangkapan pasangan yang melakukan zina, khalwat dan kelakuan tidak sopan telah menurun kata Pengarah Kempen Anti Zina Siri Ketujuh, Mohd Fauzan Madzlan.

Antara sebabnya adalah peningkatan kesedaran umum sejak kempen anti-zina kerajaan Selangor dilancarkan dan peningkatan di dalam usaha penguatkuasaan undang-undang dari agensi kerajaan.

“Kita juga bersama-sama dengan pihak Polis, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), Imigresen dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam penguatkuasaan undang-undang dalam operasi bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pelancaran Kempen Anti-Zina Siri Ketujuh di sini hari ini di Lobi Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah.

Pelancaran itu dirasmikan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Insan, Dr Halimah Ali. Ia dihadiri kira-kira 100 orang daripada wakil agensi kerajaan, NGO, masjid dan surau serta ketua kampung.

Mohd Fauzan berkata, beberapa program kesedaran dirancang di seluruh negeri termasuk memasang banner kesedaran di kawasan taman rekreasi yang dikunjungi ramai.

Risalah akan diedarkan di kawasan umum sebagai usaha mendekati masyarakat dengan memberi penjelasan bahaya perbuatan zina dan aktiviti tidak bermoral.

Dr Halimah pula menyarankan pemimpin di peringkat akar umbi khususnya ketua kampung, AJK Masjid dan Surau dan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) agar menyumbangkan idea dan tenaga bagi menjayakan program ini.

“Kempen ini adalah usaha untuk mendidik masyarakat khususnya remaja dan belia.
“Pelancaran untuk memberikan kesedaran ke generasi muda agar tidak menjadi mangsa dalam aktiviti tidak bermoral,” ujarnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.