Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : Peguam mewakili kerajaan terpaksa mengitar semula soalan berkenaan permit demi mempertahankan tindakan pihak berkuasa menahan lapan peserta dalam Perarakan Hari Hak Asasi Manusia pada 10 Disember 2007.
Soalan itu bertubi-tubi ditanya peguam ketika menyoal saksi ketiga, Latheefa Koya merupakan individu yang ditahan pada hari kejadian.
Berdasarkan bukti melalui rakaman video dan gambar perarakan, Latheefa ditanya berulang kali mengenai penyertaan beliau dalam penganjuran itu yang didakwa tidak mendapat permit.
Menurut Latheefa perkara itu bercanggah dengan konsep sebenar penganjuran yang mahukan perarakan diadakan secara aman.
“Secara keseluruhan selama dua hari ini, kami dalam proses menyaman kerajaan kerana menahan kami tanpa asas. Sebenarnya kami telah dibebaskan daripada pertuduhan sama ada kita berjalan dengan permit atau tiada (permit).
“Tapi nampaknya pada peringkat ini, pihak peguam negara masih gunakan alasan yang sama (perarakan) diadakan tanpa permit dan soalan itu tidak releven,” katanya ketika ditemui Keadilan Daily.
Mereka yang ditahan termasuk lima orang peguam antaranya, N Surendran, Latheefa Koya, R Sivarasa, Eric Paulsen dan Amer Hamzah. Manakala individu lain ialah Anthony Andu, Norazah Othman dan seorang aktivis.
Perbicaraan pada hari kedua itu semalam turut memanggil dua lagi saksi iaitu Chan Chee Keong dan Dr Nicholas.
Mereka berdua hanya memberikan bukti rakaman video untuk ditonton hakim dan peguam serta gambar bukti.
Tindakan kelima-lima peguam selaku plaintif itu adalah bagi mencabar kerajaan ekoran tangkapan mereka secara tidak sah dengan menamakan tiga defenden iaitu, Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Che Hamzah Che Ismail, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk John Louis O’Hara menetapkan prosiding perbicaraan diteruskan petang ini memandangkan masih ada saksi yang belum dipanggil memberi keterangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.