Anis Nazri , |
KUALA LUMPUR: Dalam keghairahan untuk merampas Selangor, BN diingatkan agar tidak menjadi seperti peribahasa 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran'.
Sebaliknya BN perlu meneliti suasana politik di Sabah yang muktahir ini meniupkan gelombang perubahan pimpinan BN, sekaligus rakyat negeri di bawah bayu itu.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli, berkata BN sebelum ini begitu yakin untuk merampas Selangor, namun 'terlepas pandang' terhadap Sabah yang dianggap sebagai 'fix deposit' mereka selama ini.
"Jadi, saya nasihatkan BN agar tidak membuang masa untuk mengubah suasana harmoni di Selangor hari ini, tetapi selesaikan kemelut di Sabah hingga menyebabkan dua pimpinan BN bertindak keluar parti," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing yang mengumumkan keluar dari BN dan menyokong Pakatan Rakyat, baru-baru ini.
Dr. Hatta yang juga ahli parlimen Kuala Krai itu berkata gelombang perubahan di Sabah itu bukan sahaja membabitkan kedua-dua pimpinan terbabit, sebaliknya ia juga merupakan satu gelombang rakyat.
Beliau juga menjangkakan BN tidak dapat membendung gelombang perubahan tersebut, malah yakin akan ada beberapa lagi nama lain di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan mengambil keputusan sama seperti Lajim dan Wilfred.
Ditanya sama ada suasana tersebut akan membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menangguhkan lagi pilihan raya, Dr. Hatta berkata ia sesuatu yang tidak mustahil.
"Kita harap, pilihan raya dipanggil segera. Tapi, perkiraan saya Najib akan mengambil masa yang lebih lama untuk berbuat demikian. Dia masih resah dan mengharapkan adanya perbalahan di kalangan Pakatan Rakyat untuk diambil kesempatan," tegas beliau lagi.
Pada 29 Julai lalu, Lajim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno mengumumkan perletakan semua jawatannya dalam parti dan BN berkuat kuasa serta-merta, untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat di Sabah.
Perlantikan Lajim sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dibatalkan serta-merta setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang dibacakan bersama Fasal(5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Wilfred yang mengisytiharkan keluar dari Barisan Nasional (BN) dan menyertai Pakatan Rakyat melalui parti Angkatan Perubahan Sabah yang baru diumumkan penubuhannya.
Ahli Parlimen Tuaran itu juga berkata beliau akan menjelajah ke seluruh negeri Sabah untuk membantu Pakatan Rakyat memenangi negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.
PRU13 pun belum lagi, kedudukan BN di Sabah masih selamat.
BalasPadamRakyat tentu akan kekalkan kerajaan yang tepati citarasa mereka.
BalasPadambelum tau lagi BN akan terlepas Sabah. keputusan PRU bergantung pada Rakyat.
BalasPadam