Selasa, 31 Julai 2012

Situasi di Sabah tanda kejayaan agenda reformasi

FREE MALAYSIA TODAY

Azmin Ali menyatakan bahawa dua pengumuman penting di Tuaran dan di Beaufort pastinya mengubah landskap politik Sabah. 



PETALING JAYA:  Parti Keadilan Rakyat melihat perkembangan politik Negeri Sabah sebagai kejayaan agenda reformasi yang disemai lebih 10 tahun yang lalu dan kini menyaksikan hasilnya dengan kebangkitan rakyat Sabah yang berani meruntuhkan tembok ketakutan dan kezaliman, lalu menuntut reformasi yang tulen.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak menyatakan bahawa dua pengumuman penting di Tuaran dan di Beaufort pastinya mengubah landskap politik Sabah dan menzahirkan iltizam politik rakyat Sabah untuk mencetus serta melaksanakan agenda perubahan.

“PKR mengalu-alukan pengumuman Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin dan Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing yang meletakkan semua jawatan dari parti masing-masing serta kesediaan mereka untuk bersama Pakatan Rakyat dalam usaha melakukan perubahan dalam sistem kenegaraan”.

“Kita juga menyambut baik iltizam mereka untuk menjana kekuatan rakyat bagi melakukan perubahan di Negeri Sabah. Makanya kerana komitmen yang jelas di kalangan pimpinan negeri Sabah yang berani mengambil risiko. PKR tidak teragak-agak untuk bersama-sama mereka demi rakyat Sabah”,jelas beliau.

“Kerjasama yang disepakati bersama Pakatan Rakyat merupakan titik permulaan kepada perubahan politik Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 13. Slogan ‘Ini kali-lah’ menandakan angin perubahan telah sampai ke bumi Sabah. Sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah sendiri menentukan masa depan negeri Sabah serta menikmati hasil kekayaan negeri yang selama ini diagihkan secara tidak adil oleh pentadbiran UMNO dan (BN). Rakyat Sabah juga perlu menolak UMNO – BN yang mengkhianati semangat pembentukan Malaysia”.

“Dua pengumuman penting yang bersejarah itu menjadi bukti betapa rakyat Sabah sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN. Tambah pula, pentadbiran Dato’ Seri Najib hanya sekadar menabur janji dan sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, ianya ditandai kegagalan untuk menepati janji”.

“Tekad rakyat Sabah untuk bersama Pakatan Rakyat pada hari ini adalah berpaksikan kepada keyakinan mereka terhadap agenda Pakatan Rakyat untuk melaksanakan perubahan. Mereka yakin dengan dasar – dasar Pakatan Rakyat yang terkandung dalam Buku Jingga dan perlaksanaannya akan menepati dan memenuhi hasrat dan cita – cita murni rakyat Malaysia yang mahukan urus tadbir yang baik serta pengagihan ekonomi yang adil kepada semua rakyat”,ujar beliau lagi.

“PKR turut mengalu – alukan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) serta kesediaannya bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat untuk menjana arus perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke 13”.

“Ini menandakan keyakinan rakyat Sabah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai peneraju utama dalam Pakatan Rakyat yang Insyaallah akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 7.

Semoga kebangkitan rakyat Sabah pada hari ini akan menghasilkan kejayaan dengan tertubuhnya kerajaan rakyat negeri Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke 13”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.