Selasa, 31 Julai 2012

PKR: Penyertaan 2 MP bakal realisasikan penubuhan kerajaan PR di Sabah

 
 
KUALA LUMPUR — PKR berharap melalui penyertaan dua ahli Parlimen dari Sabah ke dalam Pakatan Rakyat (PR) minggu lalu bakal menyaksikan matlamat pakatan pembangkang itu untuk menubuhkan “Kerajaan Rakyat Negeri Sabah” bakal terlaksana dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali (gambar) dalam kenyataannya berkata, penyertaan dua ahli Parlimen itu jelas menandakan rakyat Sabah sudah menerima PR dengan diterajui oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini menandakan keyakinan rakyat Sabah kepada Anwar sebagai peneraju utama dalam PR, yang InsyaAllah akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.

“Semoga kebangkitan rakyat Sabah pada hari ini akan menghasilkan kejayaan dengan tertubuhnya Kerajaan Rakyat Negeri Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke 13,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua ahli Parlimen yang menyertai PR adalah ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin, yang mana turut melancarkan pergerakan politik yang mesra PR, iaitu Pakatan Perubahan Sabah dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) yang akan bernaung di bawah payung PR.

Ahli Parlimen Gombak itu dalam kenyataannya juga berkata slogan ''Ini kali-lah'' juga menandakan angin perubahan telah sampai ke Negeri Di Bawah Bayu itu, dan menegaskan “sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah sendiri menentukan masa depan Sabah serta menikmati hasil kekayaan negeri yang selama ini diagihkan secara tidak adil oleh pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN).”

“Dua pengumuman penting yang bersejarah itu menjadi bukti betapa rakyat Sabah sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak dan BN,” katanya merujuk kepada penyertaan Lajim dan Bumburing.

Beliau turut menjangkakan penyertaan kedua-dua pemimpin itu pastinya akan mengubah landskap politik Sabah dan menzahirkan iltizam politik rakyat Sabah untuk mencetus serta melaksanakan agenda perubahan.

“Tekad rakyat Sabah bersama PR hari ini adalah berpaksikan kepada keyakinan mereka terhadap agenda untuk melaksanakan perubahan.

“Mereka yakin dengan dasar-dasar yang terkandung dalam Buku Jingga dan perlaksanaannya akan menepati dan memenuhi hasrat dan cita-cita murni rakyat Malaysia yang mahukan urus tadbir yang baik serta pengagihan ekonomi yang adil kepada semua rakyat,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.