[DIKEMAS KINI] PONTIAN -
Seorang juruterbang warga Singapura maut apabila pesawat ringan jenis
Cessna yang dipandunya terhempas di kawasan kebun kelapa sawit di Parit
Puasa, Kampung Dalam, Ayer Baloi, di sini, kira-kira jam 1.45 petang
tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Pontian,
Superintendan Tan Moh Chuan berkata, pihaknya menerima laporan daripada
orang awam mengenai kejadian tersebut pada jam 2.10 petang.
Menurutnya, mangsa dikenali sebagai
Samuel Ling Shi Min, 25, seorang ahli Kelab Penerbangan Fras yang
berpusat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai.
"Shi Min dipercayai telah berlepas dari
lapangan terbang tersebut pada jam 12.30 tengah hari tadi untuk
melakukan penerbangan latihan sebelum pesawatnya terhempas di kawasan
kebun kelapa sawit itu, yang terletak kira-kira sepuluh kilometer dari
bandar Pontian.
“Berikutan itu, kami telah menghantar
anggota ke tempat kejadian yang turut disertai pasukan Bomba dan
Penyelamat Pontian,” katanya kepada Sinar Harian.
Moh Chuan berkata, pihaknya juga akan
menyerahkan kes ini kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk siasatan
dan tindakan lanjut kerana mereka mempunyai kepakaran berkaitan nahas
udara.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pontian untuk dibedah siasat.
“Saya sedang menyapu sampah dan tiba-tiba
terdengar bunyi dentuman kuat dan terlihat pesawat itu berpusing-pusing
sebelum jatuh ke dalam kebun,” kata Mohd Shafian Buang, 15, yang
merupakan salah seorang saksi kejadian.
Menurut Mohd Shafian, kebun kelapa sawit itu terletak kira-kira 100 meter dari depan rumahnya.
“Saya terus memanggil kakak dan bergegas ke
tempat kejadian yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah kami di
Parit Haji Ali,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.