Oleh Mohd Rashidi Hassan
Alasan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk menarik balik logo Hari Kemerdekaan Malaysia merupakan suatu tindakan yang amat memalukan kerajaan, khususnya mencemar integriti Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Kata Rais,"Bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi."
Sebagai pengerusi sambutan kemerdekaan, Rais tidak harus membohongi rakyat. Semua orang tahu perancangan untuk mengatur acara Hari Kebangsaan memerlukan masa, tenaga dan peruntukan besar. Maka sudah tentu ia bukan kerja ad-hoc.
Tiada rakyat yang boleh percaya bahawa jawatankuasa sambutan kemerdekaan sudah sampai ke tahap ini, sebulan sebelum Hari Merdeka, masih belum memutuskan logo dan temanya.
Hakikatnya, Rais dan seluruh anggota Kabinet sedar bahawa memang logo dan tema itulah yang diputuskan kerajaan untuk dijadikan moto utama Hari Kemerdekaan.
Jika tidak, mengapa Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan beriya-iya mempertahankan logo dan tema Hari Merdeka, selepas dikritik hebat rakyat.
Saban tahun, iaitu pada setiap 31 Ogos ini rakyat Malaysia akan menyambut ulangtahun kemerdekaan ke 55 daripada penjajahan British.
Bagi rakyat Malaysia, yang terdiri dari kalangan pelbagai kaum dan agama, Hari Kemerdekaan merupakan suatu perayaan yang bukan sahaja membebaskan negara dari cengkaman penjajahan, malah ianya adalah pencetus nilai keharmonian dan permuafakatan.
Dalam erti kata lain, menyambut merdeka harus diasingkan dari kongkongan fahaman ideologi kepartian dan politik.
Tidak kira Melayu, Cina, India, Punjabi, Iban, Melanau, Kadazan, Dusun, Orang Asal, semuanya adalah rakyat Malaysia, yang harus patriotik mencintai negara.
Tidak kira PAS, Umno, KeADILan, DAP, MCA, MIC dan sebagainya, semuanya bertanggungjawab menyuburkan semangat kemerdekaan, dengan hasrat untuk terus memelihara kemakmuran negara.
Kita harus bertegas, tiada kompromi dalam soal keamanan, kemakmuran dan keharmonian negara. Tiada sesiapa yang harus mencemarkan imej negara. Tiada sesiapa yang harus dibenar untuk menggugat keharmonian yang kita kecapi selama ini.
Dan, tidak harus bagi sesiapa pun yang boleh dibenarkan untuk mencemar kesucian kemerdekaan negara, dengan matlamat politik yang sempit.
Tidak harus sama sekali kerajaan Umno-Barisan Nasional, khususnya Perdana Menteri, mempergunakan semangat kemerdekaan, demi menggapai sokongan rakyat yang semakin tiris terhadap mereka.
Inilah peristiwa malang yang berlaku dalam negara kita. Malang apabila slogan 'Janji Ditepati', yang digunapakai sebagai slogan teras kempen Pengerusi BN dan Presiden Umno, dijadikan slogan menyambut Hari Kemerdekaan.
Slogan ini tidak harus diterima kerana ia tidak melambangkan permuafakatan rakyat. Ia tidak melambangkan cetusan untuk memupuk keharmonian kaum.
Ianya adalah slogan satu hala, semata-mata untuk menyemarakkan propaganda BN, kononnya 55 tahun pentadbiran mereka, segala janji sudah ditunaikan.
Jelas pada kita, sama ada mereka dari kalangan pemimpin Umno tidak tahu membezakan peranan parti dengan kerajaan, atau pun, selama ini mereka hanya menganggap kerajaan itu Umno, Umno itu kerajaan. Suka hati hendak buat apa.
Ternyata Umno-BN tidak sedar bahawa mereka kini berstatus pembangkang. Pilihan Raya Umum 2008 rakyat sudah meletakkan Umno-BN menjadi pembangkang di lima buah negeri.
Umno-BN tidak harus 'perasan' mereka akan duduk ditampuk kuasa kerajaan buat selama-lamanya.
Dengan meletakkan tema 'Janji Ditepati' sebagai slogan kemerdekaan, seolah-olah Umno-BN mahu menyatakan kepada rakyat bahawa Jalur Gemilang adalah hak milik mereka. Mereka menghakmilikkan bendera negara macam bendera BN.
Sebab itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak ramai kalangan rakyat yang mahu mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan atau premis milik mereka. Yang mengibarkan bendera negara hanya penyokong Umno-BN sahaja. Itu pun hanya dua tiga kerat.
Justeru, rakyat yang semakin sedia menolak Umno-BN, enggan menaikkan bendera Malaysia. Rakyat takut, dengan mengibarkan Jalur Gemilang mereka dilabel penyokong Umno-BN.
Jelas pada kita bahawa, akibat daripada kerakusan dan ketamakan kuasa, Umno-BN sudah mencabut roh dan semangat patriotik rakyat terhadap negara.
Maka tiada jalan lain bagi kita untuk menyelamatkan negara, selain daripada usaha gigih kita, mencabut roh dan nyawa Umno, dari tampuk kuasa pada PRU ke-13 nanti.
Sebelum roh dan nyawa Umno dicabut rakyat pada PRU depan, ruh dan semangat 'Janji Ditepati' yang dicanang Najib, sudah tercabut akibat kedangkalan Rais Yatim yang hendak 'mengampu tidak kena tempat.'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.