Nazri Abdullah, |
SHAH ALAM: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru rakyat negeri itu agar kekal memberi mandat kepada PAS pada pilihan raya akan datang supaya nilai dan budaya Islam dapat terus disuburkan.
Menurutnya, sejak PAS mentadbir negeri itu pelbagai perkara baru diperkenalkan kerajaan negeri untuk memberi kebaikan rakyat yang selari dengan suruhan agama Islam itu sendiri.
Beliau memberi contoh sistem pajak gadai Islam Ar-Rahnu yang bukan sahaja bebas riba malah memberi keadilan kepada rakyat dan kini ditiru pula pihak lain.
Selain itu banyak lagi perkara lain yang Kelantan menjadi perintis perubahan termasuk peraturan papan iklan yang mensyaratkan wanita menutup aurat.
"Kelantan boleh buat macam itu kerana ada kerajaan. Kenapa ada kerajaan? Kerana ada undi.
"Bila orang undi kita parti PAS yang dasar kita Islam, maka kita boleh buat banyak lagi benda-benda baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Temu Mata Anak Rantau Panjang D'Perantauan yang diadakan di dewan Wisma PKPS di sini semalam.
Gambar: YAB Tuan Guru sejurus tiba di Dewan Orkid, WISMA PKPS, Seksyen 14 Shah Alam.
Sejak memerintah negeri pada tahun 1990, lebih 100 perubahan besar telah dilakukan kerajaan negeri khususnya program yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Sehubungan itu katanya, rakyat Kelantan perlu terus bersama kerajaan negeri bagi membolehkan banyak lagi perkara-perkara baik dicetuskan pada masa akan datang.
"Orang lain tiru benda baik yang kita buat, dapat pahala.
"Kerajaan dapat pahala, orang yang undi kerajaan yang buat baik itu pun dapat pahala," katanya.
Dalam pada itu lebih 200 anak Rantau Panjang di perantauan hadir dalam majlis pertemuan itu semalam.
Selain Tok Guru, turut hadir adalah Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Yusof, Adun Gual Periok Ustaz Mohamad Awang, Adun Meranti Nusuruddin Daud dan Adun Bukit Tuku Abd Fatah Haron.
Zailah ketika mengulas program semalam mengucapkan tahniah atas kehadiran anak-anak Rantau Panjang ke program itu.
"Saya ucap tahniah dan terima kasih kepada yang hadir. Rata-rata yang saya jmpa itu saya kenal keluarga mereka dan majoriti di sini anak Rantau Panjang.
"Ramai antara mereka ini beritahu saya dah tak sabar nak mengundi," katanya.
Terdahulu pelbagai aktiviti dijalankan pada sebelah paginya termasuk perlawanan futsal anjuran Dewan Pemuda PAS Rantau Panjang.
Pasukan 'IR Land' menjadi juara apabila menewaskan pasukan 'Tepi Sungai' 2-0.
Pasukan 'Suara Anak Muda RP' pula di tempat ketiga menewaskan pasukan 'Batu 10B' untuk tempat keempat.
Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM700 dan piala, tempat kedua RM500, ketiga RM300 dan keempat RM100.
Turut menarik perhatian semalam pertandingan memakai serban ala ulama tersohor Kelantan, Tok Kenali.
Uniknya, pertandingan itu dimenangi seorang anak muda yang hanya berbaju t-shirt dan berseluar jeans yang mengenakan serban paling menyerupai serban Tok Kenali.
Pemenang adalah dipilih sendiri oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.