Isnin, 2 Julai 2012

Himpunan Sedar ikut arahan polis

Wartawan Sinar Harian

Himpunan Sedar ikut arahan polis
Azmi menunjukkan salinan permit yang dikeluarkan pihak polis membenarkan mereka berkumpul bermula jam 9 pagi hingga 1 petang 26 Jun lalu, di sini semalam.
 
 
KOTA BHARU - Majlis Tindakan Rakyat Negeri Kelantan (MTRK) menjelaskan peserta badan bukan kerajaan (NGO) kumpulan mereka mematuhi permit dan arahan yang ditetapkan pihak polis ketika Himpunan Sedar 26 Jun lalu.

Presidennya, Azmi Ali berkata, sehari sebelum perhimpunan itu, mereka mengadakan perjumpaan bersama Ketua Polis Daerah, Asistent Komisioner Azham Othman dan tempoh berhimpun ditetapkan bermula dari jam 9 pagi hingga 1 petang.

Menurutnya, waktu berkenaan adalah serentak dengan kumpulan Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (Royalti) berhimpun di hadapan Kompleks Kota Darul Naim.

“Peserta NGO kami mematuhi arahan yang ditetapkan dengan berada di kawasan Jalan Kuala Krai seperti persetujuan mengikut permit dan tidak sewenang-
wenangnya memasuki kawasan pihak satu lagi,” katanya kepada media ketika ditemui di sini, semalam.

Oleh itu, Azmi jelasnya, tuduhan pihak tertentu yang mendakwa peserta MTRK datang lebih awal mengganggu perhimpunan aman dengan mengatakan permit berhimpun
sepatutnya jam 10 pagi adalah tidak benar.

Berhubung dakwaan seolah-olah wakil NGO Himpunan Sedar memulakan provokasi sehingga berlaku pergaduhan katanya, beliau tidak mengetahui secara jelas individu mahupun pihak tertentu yang mencetuskan kekecohan tersebut.

“Ketika pergaduhan kecil berlaku polis mengeluarkan arahan supaya bertenang dan saya sendiri bersama ahli-ahli lain berusaha meminta individu berkenaan beredar, saya juga tidak tahu siapa yang memulakan tumbukan sehinggalah kekecohan itu ditenteramkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Azmi yang mengetuai Himpunan Sedar itu juga turut mengingat blogger mahupun individu tertentu supaya menghentikan dakwaan yang memburukkan imej MTRK dan Gerakan Tukar Kerajaan Pas Demi Rakyat (Tukar) kerana perhimpunan berkenaan dirancang sebulan yang lalu dan mendakwa ada pihak cuba menggagalkannya.

“Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada pihak tertentu dan berharap perbuatan tidak bermoral dengan meletakkan gambar individu sebagai dikehendaki di facebook kononnya terlibat dalam pergaduhan dihentikan segera,” katanya.

Sambil menafikan dakwaan yang mengatakan NGO Himpunan Sedar ditaja pihak tertentu, beliau juga bangga dengan ketangkasan polis dalam mengawal perhimpunan aman berkenaan daripada berlaku perkara tidak diingini.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Tukar, Kamaruddin Mohd Kasim mendakwa himpunan diadakan oleh NGO Royalti tersebut adalah untuk menutup isu masalah air yang dihadapi oleh rakyat seperti diperjuangkan Himpunan Sedar.

“Sepatutnya isu yang diketengahkan oleh Himpunan Sedar dalam memperjuangkan nasib rakyat mendapat respons pihak tertentu dan bukannya ada yang cuba untuk menuduh kami sebagai penderhaka,” katanya.

Perhimpunan aman yang disertai dua kumpulan NGO di hadapan bangunan SUK baru-baru ini disertai kira-kira 5,000 wakil kedua-dua NGO untuk menyuarakan hak rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.