Isnin, 30 Julai 2012

Fokus Parlimen Pekan: Aura calon muda pancing undi

Wartawan Sinar Harian

Fokus Parlimen Pekan: Aura calon muda pancing undi
Ahli Dewan Undangan Negeri Bebar, Datuk Ishak Muhammad antara pemimpin senior dalam kepimpinan Pekan.
 
 
PEKAN - Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi terus menarik perhatian ramai dan pelbagai isu serta spekulasi yang muncul ‘memanaskan’ tempoh sementara menanti ia diumumkan secara rasmi.

Sinar Harian tidak ketinggalan turun padang mencungkil dan menghurai pendapat orang ramai serta pemimpin setempat mengenai pandangan mereka terhadap ramalan awal situasi PRU akan datang.

Apa yang dilihat sebelum ini ialah pemilihan calon yang berusia serta mempunyai pengalaman dijadikan sebagai ‘ayam tambatan’, namun apakah trend tersebut kekal menjadi tradisi atau bakal berubah melalui pemilihan calon muda?

Seorang pemerhati politik, Khaidir Abd Aziz, 54, berkata, pemilihan calon muda pada PRU akan datang wajar dipertimbangkan kerana mereka boleh membawa kepada perubahan yang lebih baik melalui pandangan yang lebih segar serta tenaga yang lebih kuat.

Menurutnya, mereka tidak seharusnya dinilai melalui usia tetapi kebolehan serta bakat sebagai pemimpin yang dimiliki selain kesungguhan yang ditunjukkan untuk berbakti kepada masyarakat.

“Kepimpinan yang baik bukan terletak kepada usia tetapi pemikiran serta kemampuan mereka menerajui kawasan yang ditadbir dan kebolehan mereka menangani masalah dan isu yang disuarakan rakyat.

“Kepercayaan boleh diberikan jika mereka berjaya melepasi pelbagai cabaran dan dugaan bukan sahaja mengharungi gelombang politik tetapi juga mampu membawa perubahan serta membela nasib rakyat dengan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Seorang lagi pemerhati, Mohd Uthman Omar, 58, berpendapat, pemilihan calon muda pada PRU akan datang dilihat sebagai satu langkah yang perlu diberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya bagi mengelak sebarang masalah terutamanya daya kawalan terhadap cabaran sebagai seorang pemimpin yang diharapkan.

“Jika mereka gagal menyerlah sebagai pemimpin, maka ia menjadi satu kesilapan bagi mana-mana parti meletakkan calon muda sebagai wakil mereka malah memberi tanggapan yang kurang meyakinkan kepada rakyat.

“Apa yang penting ialah kemampuan mereka untuk menampilkan figura seorang pemimpin yang mampu melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat selain bijak menyesuaikan diri dan menangani apa jua konflik,” katanya.

Bijak, miliki aura

PEMILIHAN calon muda pada PRU akan datang sememangnya akan membawa satu perubahan yang dinanti-nanti oleh golongan ini di mana kualiti serta kredibiliti mereka akan teruji ke tahap maksimum.

Bagi seorang belia, Muhamad Faiz Abu Zaki, 28, berkata, jika calon muda yang dipilih, ia mampu mengubah landskap pentadbiran kerajaan yang sebelum ini majoritinya dibarisi pemimpin berusia.

Menurutnya, perubahan yang dilakukan merupakan satu anjakan yang memberi pelbagai persepsi dan rakyat pasti menaruh harapan untuk melihat perubahan yang akan dibawa oleh calon muda jika mereka berjaya meletakkan diri sebagai pemimpin pilihan.

“Mungkin sukar bagi calon muda untuk meraih sokongan rakyat dalam memperjuangkan misi dan visi sejajar impian yang digenggam untuk membela nasib rakyat dan membawa perubahan yang memberangsangkan.

“Namun zaman kian berubah di mana golongan muda seharusnya diberi ruang untuk membuktikan kebolehan mereka apatah lagi kehadiran mereka dapat menyalurkan idea serta pandangan dari sudut berbeza dan bersesuaian dengan peredaran zaman,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Muhamad Faiz berkata, pada pandangan peribadinya, apa yang perlu ditekankan ialah calon yang dipilih perlu bijak selain berusaha memainkan peranan sebagai pemimpin yang menyerlah dengan kelebihan serta ilmu dimiliki.

“Tindakan bijak serta agresif dalam bertindak mengikut kesesuaian keadaan dan keperluan bakal menawan hati rakyat seterusnya meyakinkan mereka bahawa calon muda merupakan pilihan yang tepat.

“Kualiti serta sifat kepimpinan dalam diri juga harus diserlahkan melalui keyakinan berkomunikasi serta kehadiran mereka dalam masyarakat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.