Khamis, 28 Jun 2012

Raja Azmi dan Jailani cerai talak satu

SITI AZIELAH WAHI

Raja Azmi dan Jailani cerai talak satu
Raja Azmi - Jailani
 
 
KUALA LUMPUR - Selepas 28 tahun melayari bahtera perkahwinan, bekas Jaguh Badminton Kebangsaan, Jailani Sidek dan Pengarah Filem, Raja Azmi Raja Sulaiman bercerai talak satu, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini hari ini.

Jailani atau nama sebenarnya Mohamed Jailani Mohamad Sidek, 49, melafazkan talak kepada Raja Azmi, 53, kira-kira jam 3.33 petang di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin.

Tarikh penceraian mereka simbolik dengan tarikh kelahiran Raja Azmi, 27 Jun.

Peguam Syarie, Roslizan Rahim memberitahu mahkamah, pihaknya telah menghantar saman dan surat akuan bersumpah kepada defenden sekitar jam 2 petang bagi menuntut penceraian tersebut di mahkamah.

Raja Azmi yang dinamakan sebagai palintif, dan Jailani sebagai defenden masing-masing diminta untuk bersalaman dan memohon maaf oleh hakim syarie sebelum talak dilafazkan.

Roslizan semasa membacakan akuan bersumpah berkata, pasangan itu mengakui sudah tidak mempunyai perasaan kasih sayang antara satu sama lain dan telah berbincang serta mengambil masa yang panjang sebelum meneruskan keputusan untuk bercerai.

Menurut hakim, lafaz talak yang dibuat Jailani sah dengan talak rajie mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

"Setelah mendengar keterangan bersumpah yang dibacakan peguam plaintif, atas alasan tidak wujud kasih sayang dan sudah berlaku konflik yang berpanjangan antara kedua pihak, walaupun telah sedaya upaya mempertahan perkahwinan," katanya.

Mahkamah turut memerintahkan plaintif untuk beredah selama tiga bulan dan sijil perakuan nikah mereka dibatalkan.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Raja Azmi berkata, mereka berdua memilih jalan untuk berpisah secara aman dan membuat keputusan itu selepas mendapati masalah rumah tangga mereka tidak menemui jalan penyelesaian.

"Selama ini, terlalu banyak kontroversi melanda diri saya, termasuk kontrovesi yang mengaibkan saya dan Roslin Hashim walaupun perkara itu tidak benar.

"Saya sudah tidak sanggup apabila Jailani dituduh suami yang dayus sedangkan dia seorang suami yang baik," katanya.

Jailani pula berkata, dia menerima seadanya ketentuan tersebut dan percaya ada hikmah di sebalik penceraian itu.

Pasangan itu bernikah secara sah pada 22 Disember 1984, di Kemunting, Perak dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga orang anak berusia antara 18 hingga 27 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.