Selasa, 26 Jun 2012

Pengajian tinggi diperniagakan, mutu pendidikan dipermangsakan



Siaran iklan di panggung wayang sebelum mulanya filem untuk sebuah universiti swasta yang menawarkan huruf-huruf azimat atas selembar kertas - BA, MA, PhD - ialah sesuatu yang sangat membimbangkan.  Dahulu kala, iklan yang mempromosikan minuman keras sering disajikan buat penonton/konsumer.  Kini, pengajian tinggi didagangkan seperti kereta dan telefon bimbit.  Penuntut IPT (dan ibu bapa) kononnya adalah "pelanggan", kecuali hak-hak konsumer pendidikan tidak mungkin wujud kerana pendidikan tidak boleh diukur atau ditaksir.  Jika penuntut tidak puas hati dengan mutu pengajian, apakah mereka dibayar kembali ganti rugi?  Apakah semua penuntut IPT (dan ibu bapa) tahu langsung akan kriteria sebuah pusat pengajaran tinggi yang bermutu dan bertaraf antarabangsa?

Bagi kesemua pertanyaan di atas, saya rasa jawabnya tidak.  Secara dasarnya, pintu masuk ke alam pengajian tinggi akan dibuka mengikut kemampuan kewangan, daya intelek, dan kelayakan yang lain.  Namun di Malaysia, pintu masuknya banyak dan seperti sebuah medan selera, menu kursus dan IPT yang beraneka macam boleh membingungkan sang mahasiswa (dan ibu bapa).  Apakah bakal mahasiswa tahu kelebihan IPT X daripada Y selain nama dan jenis kursus yang mempamerkan prestij?  Apakah ibu bapa bakal mahasiswa rela menyerah puluh ribuan ringgit dalam bentuk pinjaman atau sebaliknya untuk sebuah IPT yang belum diketahui tahap kecemerlangan graduannya?  Atau apakah sijil yang berhuruf azimat sahaja yang diburu?

Susulan daripada isu hutang PTPTN yang menggempar, persoalan panas pendidikan percuma sebagai penawar bisa penghutang-penghutang muda terus membakar.  Mungkinkah barisan pembangkang ingin meraih watak "hero" mahasiswa dengan umpan mereka, pendidikan "percuma"?  Tetapi apakah barisan pembangkang sedar akan kos pembiayaan sebuah IPT yang bertaraf antarabangsa?  Dan apakah pendidikan itu benar-benar boleh dipercumakan?  Parah sekali apabila peluang untuk bersambung belajar dipolitikkan untuk mengumpan undi muda.  Jika kita ingatkan kembali dana berjutaan ringgit yang disalurkan untuk penubuhan sekolah-sekolah bestari yang disalahgunakan oleh pihak pengurusan dan pentadbiran untuk lawatan luar negara, kita dapati bahawa wang ringgit institusi dan pendidikan "percuma" bagi mereka yang layak mudah dibazir kerana matlamat yang terpesong dan penyelidikan yang lemah.

Bagaimana pula dengan United Kingdom, negara yang kaya dengan IPT yang terbaik di dunia dan destinasi ribuan mahasiswa Malaysia setiap tahun?  Kini kerajaan Konservatif David Cameron telah menghentikan pembiayaan awam untuk pusat-pusat pengajian tinggi dan menaikkan sebanyak tiga kali ganda yuran tahunan penuntut tempatan.  Kesan terhadap mutu pendidikan di IPT British akan langsung dirasai; tenaga dan bakat pengajar baru terpaksa disekat, dan kursus yang tidak menjamin keuntungan bagi pembangunan material negara seperti sastera, falsafah, dan media dibanding kejuruteraan dan sains akan diperlekehkan.  Malaysia akan menjejak langkah United Kingdom jika perbadanan awam tidak menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang saksama dari segi pendidikan.

Apabila pengajian tinggi dijadikan produk yang didagangkan semata-mata, bukan sahaja mutu pendidikan dipersia-siakan.  Di sebalik fenomena penuntut yang "dipelanggankan", ramai penuntut IPT, terumatanya IPT swasta dijadikan korban tamak haloba para "usahawan" IPT.  Terdapat beberapa IPT swasta yang dilaporkan menyeleweng dan merompak secara diam-diam pinjaman PTPTN pelajar.  Sesetengah penuntut IPT pula melapor penipuan nama dan pendaftaran kursus oleh pihak fakulti.  Kemudahan seharian yang "basic" seperti bekalan elektrik dan air di beberapa kolej swasta yang kurang memuaskan sering dilaporkan juga.

Saya sendiri pernah menginap di asrama kolej swasta di mana bekalan elektrik dipotong setiap malam dengan sengaja untuk menjimat kos pentadbiran kolej.  Pengetua kolej tersebut merupakan seorang ahli politik UMNO yang bercita-cita tinggi dan pengurus sebuah golf resort di kawasan kolej swasta tersebut.  Pelajar luar negara pula sering dilayan seperti warga kasta bawahan.  Selain perkauman yang berleluasa, pegawai-pegawai imigresen secara rutin menyerbu asrama pelajar luar negara IPT swasta atas pelbagai alasan yang sangat mencurigakan.  Apabila pendidikan menjadi sekadar bisnes dan sebuah proses menjual-beli, pihak pengurusan IPT menjadi peniaga yang akan jarang sekali beretika.

Pendidikan bukan sebuah produk yang boleh dijual-beli.  Namun sikap rakyat Malaysia yang terlalu mudah menanggap pendidikan secara prinsipnya "murni" dan secara prosesnya "diberi" seperti objek dari pengajar ke pelajar.  Pendidikan, terumatanya pengajian tinggi, menyiapkan individu untuk berfikir dengan kritis sebelum melangkah ke dunia bukan sekadar sebagai pekerja, tetapi sebagai dewasa yang berpengetahuan luas.  Universiti adalah institusi pengetahuan tertinggi yang melahirkan warga yang bijak-pandai, lincah berkomunikasi, dan mempunyai kesedaran sosial.

Kerana IPT (terutamanya IPTS tertentu) yang diumpamakan kilang pencetak sijil mengambil peranan sebagai penjaja pendidikan dan beriklanan merata tempat, keperluan dan hak mahasiswa jarang dibela.  Ramai mahasiswa tempatan dan dari luar negara dibelenggu aturan IPT dan ugutan yang boleh menjejaskan perjalanan pengajian mereka.  Oleh yang demikian, hanya hak dan kesedaran mahasiswa yang harus diperkasa, kerana pelaburan atas nama pendidikan mahasiswa amatlah besar.  Kerajaan yang mengutamakan peniaga pendidikan dan meminggirkan mereka yang kurang berkuasa politik, kewangan, dan sosial akan membina masyarakat yang materialis dan anti-intelektual.

*Alicia Izharuddin adalah pelajar Doktor Falsafah dalam kajian Islam, gender, dan media.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.